KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

16 August 2009

AKIL HAYY WAHIDA AKHIRNYA BERNIKAH



Teks Oleh Ellyna Ali
Foto Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 16 OGOS 2009: Sesudah sekian lama bermain teka-teka dan mencetuskan kontroversi, penyanyi dan penceramah Ustaz Akil Hayy, 40, akhirnya telah bernikah dengan penyanyi dan pelakon Waheeda, 30, di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor, tengah hari tadi.

Kedua-dua mereka telah sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz akad dan telah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Ustaz Zulhairi Jaid. Waheeda menerima mas kahwin sebanyak RM80, senaskhah Al-Quran dan 7 dulang hantaran berbalas 11. Turut hadir di majlis itu, anak Akhil iaitu Siti Nur Maisarah, 12, dan Muhd Syarif Idayatullah, 11.
Jangan Tak Lihat

Mengulas tentang majlis pernikahan itu, Akil berkata kepada wartawan, ia diharap akan dapat menamatkan banyak spekulasi tentang hubungan mereka berdua selama ini.

"Apa yang sudah berlalu itu biarkanlah ia berlalu. Mungkin inilah kebesaran Tuhan kerana akhinya Waheeda adalah jodoh saya," katanya.

Sementara Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, pula berkata, dia tidak kisah lagi tentang apa kata masyarakat sekeliling terhadap dirinya.

"Saya tidak mahu fikirkan lagi tentang cakap-cakap orang. Tuhan itu lebih Maha Mengetahui tentang segala-galanya," kata Waheeda.

Difahamkan, majlis resepsi perkahwinan untuk sebelah Waheeda akan diadakan di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada 31 Oktober nanti manakala Akil pula akan membuat kenduri tempat asalnya, di Gopeng, Perak.

Sebelum ini, hubungan Akhil dan Waheeda telah berjaya dihidu oleh pihak media sejak 2 tahun lalu tetapi mereka sentiasa menafikannya sebarang hubungan intim dan percintaan. Bagi mereka hubungan itu hanya berkaitan dengan tugas dalam bidang seni malah persahabatan mereka diketahui oleh pihak keluarga.

Namun kemuncak gosip itu adalah apabila Akhil akhirnya bercerai talak satu dengan isterinya, Maizawati Zainal, 33, di Mahkamah Syariah Ipoh, Perak pada 15 Julai lalu.

Maizawati dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa dia telah memberikan kebenaran kepada Akhil untuk berkahwin selepas Akhil membuat pengakuan mahu bernikah dengan Waheeda. Namun selepas itu katanya, Akhil terus berdiam diri, tidak pulang ke rumah hinggalah membawa kepada konflik dan perceraian mereka.

Selepas bercerai, Akhil akui dia semakin rapat dengan Waheeda dan tidak menolak kalau ditakdirkan akan berkahwin dengan pelakon filem Nana Tanjung itu kerana Waheeda memiliki ciri-ciri wanita yang disukainya.

Kini segala-galanya telah terjawab. Portal murai.com.my mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Akhil dan Waheeda dan semoga kehidupan mereka bahagia dan aman damai.

No comments: