Melihat suasana masjid di Jordan ini memang banyak berbeza dengan suasana masjid di Malaysia. Antaranya perbezaan ketaranya adalah :
1- Kanak-kanak boleh solat di dalam saf dewasa bersama ayah mereka
2- Kanak-kanak itu tertib dan tidak mengganggu jemaah menunaikan solat
Adapun di Malaysia, keadaan tersebut sukar ditemui, sekaligus mencetus semacam perbalahan antara golongan yang mahu melihat budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan golongan yang anti dengan kanak-kanak yang mahu solat di masjid. Timbul berbagai komen dengan bermacam-macam nada, antaranya daripada ibu atau bapa yang tidak berpuas hati akan layanan pengurusan masjid terhadap anak-anak mereka. Begitu juga daripada ahli jemaah masjid yang tidak berpuas hati kerana gagal khusyuk dalam solat dek kerana bisingnya kanak-kanak di dalam masjid.
Jadi siapa yang mahu menang? Dan siapa yang mahu dihukum bersalah?
Seharusnya, semua pihak perlulah memahami isu ini secara adil, barulah tidak timbul kekeliruan samada mahu membawa kanak-kanak di masjid atau meninggalkan mereka di rumah.
Soal Hukum
Banyak hadith sahih menceritakan tentang budaya kanak-kanak bersolat di masjid dan menggambarkan kepada kita betapa kanak-kanak itu sepatutnya diraikan di masjid. Tidak perlu wujud diskriminasi antara kanak-kanak dan orang dewasa, sehingga mahu dipaksa kanak-kanak itu berpisah saf solat dengan bapanya. Justeru hukum membawa kanak-kanak ini sebenarnya adalah sunat dan digalakkan. Bagaimanapun, keadaan itu berubah-ubah mengikut situasi.
1- Sunat ; kiranya dapat mendidik mereka menjiwai solat berjemaah dan menyukai masjid sebagai pusat ukhwah dalam masyarakat.
2- Harus ; kiranya mereka sudah mumayyiz, tidak mencetus gangguan dan boleh dikawal.
3- Makruh, bahkan Haram ; kiranya mereka boleh mengganggu jemaah yang sedang solat, mencetus kekacauan dan menimbulkan fitnah serta perbalahan sesama ahli jemaah.
Nah, jika semua pihak memahami kesemua situasi ini dengan baik, maka tidak perlulah berbalah atau menghamburkan kemarahan secara sembrono, sehinggakan kerana satu masjid tidak mesra kanak-kanak, kesemua masjid dilabel sebagai anti kanak-kanak. Kerana satu pihak pengurusan bertegas dengan kanak-kanak, kesemua pengurusan dianggap tidak faham hukum hakam. Kadang-kadang, hadith yang dipegang sudah betul, tetapi pengaplikasiannya jauh terpesong.
Maka sebaiknya, semua pihak memainkan peranan masing-masing dan memperbetulkan kelemahan yang ada. Matlamat yang diimpikan adalah ; masjid akan menjadi pusat masyarakat yang mesra kanak-kanak dan dekat di hati orang muda. Sudah tentu tidak ada pihak yang mahu melihat mereka itu lari ke pusat-pusat hiburan lantaran mereka tidak dihargai di masjid.
Solusi :
Ibu bapa
Jangan hanya pandai membawa anak-anak ke masjid, tetapi didiklah juga mereka dengan akhlak dan disiplin yang baik. Letakkan syarat untuk mereka patuhi apabila berada di masjid. Mereka perlu dididik dan dibentuk dari rumah, barulah mereka berdisiplin di luar rumah. Ketegasan ibu bapa dalam hal ini sangatlah penting. Banyak terjadi, ibu bapa hanya tahu membawa anak ke masjid, sedangkan dalam kocek seluar anak-anak mereka penuh dengan pelbagai mercun. Ketika jemaah lain terganggu, ibu bapa hanya buat-buat tak tahu. Ini yang dikatakan menimbulkan fitnah.
Sebaliknya, jika anak-anak yang dibawa benar-benar berdisiplin dan tidak mengganggu kekhusyukan jemaah masjid, atau mereka boleh dikawal dengan baik, maka bawalah mereka ke masjid dan sebaiknya, solatlah bersama mereka di dalam satu saf yang sama.
Pihak masjid
Masih banyak masjid yang terlalu keras dengan kanak-kanak, sehinggakan pantang melihat kanak-kanak solat di dalam saf dewasa. Alasan tidak suci dan dalil-dalil pemisahan saf yang tidak tepat, dimomokkan kepada kanak-kanak untuk mereka menjauhi saf dewasa. Dalam masa yang sama, pihak masjid enggan mengambil tanggungjawab maksima untuk mengawal kanak-kanak yang hadir. Kalau mahu dikhaskan saf untuk mereka sekalipun, pastikan hanya untuk kanak-kanak yang benar-benar tidak boleh dijaga dan ibu bapa mereka pula tidak sensitif dengan mereka. Sebaliknya kanak-kanak yang pendiam, tidak buat bising, janganlah dihalang untuk bersolat bersama bapa mereka.
Banyak alternatif yang pihak masjid boleh usahakan untuk menangani isu kanak-kanak membuat bising di masjid. Antara yang banyak dibuat adalah menyediakan bilik atau ruang khas bersama penjaga. Kalau di masjid saya dahulu, ada seorang pak cik yang memang agak ditakuti oleh kanak-kanak, dan dia mengambil peranan secara sukarela menjaga saf kanak-kanak dan mengawal keriuhan mereka. Cara itu dilihat berkesan meskipun tidak semaksima yang diharapkan.
Pendakwah / Ahli Agama
Pada saya , mengubah cara fikir masyarakat bukan perkara yang mudah. Mereka bukan ahli akademik dan mereka bukan pemikir yang bijak membaca waqi’ apatah lagi melakukan satu resolusi ke atas budaya sedia ada. Maka ketegasan melampau ke atas kanak-kanak yang mahu solat di masjid menjadi budaya dan adat yang berterusan. Umum akan melihat kanak-kanak yang solat di saf dewasa sebagai salah bahkan ibu bapa mereka pun ditegur dan dimarahi. Dari situ, para pendakwah dan ahli agama harus lebih bijak menyelami perasaan dan situasi kesemua pihak, sekaligus merencana alternatif baru yang lebih segar dan praktikal untuk dilaksanakan. Melontar idea untuk menjadikan masjid pusat masyarakat memang sangat mudah, tetapi untuk melaksanakan ia tersangatlah payah.
Maka , dakwah dan proses islah tetap perlu diteruskan. Tidak berjaya hari ini, mungkin berjaya esok. Tidak esok, mungkin bulan depan, tahun depan. Kerja tetap perlu dibuat dan diiltizamkan.
Kesimpulan
Kebanyakan masjid berada di bawah Jabatan Agama negeri masing-masing. Justeru pihak atasan yang mengawal seharusnya lebih peka dan agresif dalam memperbetulkan budaya yang salah dalam masjid. Keluarkan satu garis panduan untuk kakitangan masjid dan perbanyakkan program mendidik ibubapa dalam hal membawa anak mereka ke masjid. Kita mahu mereka akrab dengan kita, tetapi kita tidak menyediakan jalan dan ruang untuk mereka. Dari situ timbul berbagai fitnah dan perbalahan, di mana kesemuanya hanya simptom dari isu pokok yang tidak diselesaikan. Alangkah indah jika semua pihak memahami dan menjalankan peranan masing-masing. InsyaAllah budaya yang kita impikan itu akan berjaya direalisasikan.
No comments:
Post a Comment