Badar al-Kubra dan wanita – Bahagian I 9 September 2009
Ghazwah Badar al-Kubra adalah satu daripada peristiwa paling penting dalam sejarah Islam. Tentera Islam yang berjumlah 313 orang dianugerahi kemenangan besar, mengalahkan pihak lawan yang berjumlah lebih daripada 1000 orang.
Pertempuran hebat ini berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah berbetulan Ramadan pertama disyariatkan puasa.
Kitab-kitab sejarah tidak mencatatkan keterlibatan wanita secara langsung dalam peperangan ini. Ahli pasukan yang berangkat bersama Rasulullah s.a.w. dari Madinah pada 8 atau 12 Ramadan tahun ke-2 hijrah semuanya lelaki. Mereka tidak membawa kelengkapan yang secukupkan untuk berperang. Yang ada bersama mereka hanyalah dua ekor kuda kepunyaan Zubayr bin al-‘Awwam dan Miqdad bin al-Aswad, 70 ekor unta yang setiap satunya dikongsi tunggang oleh dua atau tiga orang secara bergilir. Rasulullah s.a.w. berkongsi menaiki seekor unta secara bergilir-gilir dengan Ali bin Abi Talib dan Mirthad bin Abi Mirthad.
Meskipun tidak ada wanita yang terlibat secara langsung dalam pertempuran yang bersejarah ini, namun terdapat beberapa nama wanita yang terkait dengan peristiwa besar ini yang dapat diambil pengajaran mengenai kedudukan wanita dalam ajaran Islam. Antara nama-nama yang tercatat mempunyai kaitan dengan Ghazwah Badar al-Kubra ialah:
i. Atikah binti Abdul Muttalib
Tiga hari sebelum kedatangan Dhamdham bin ‘Amru al-Ghifari yang diutus oleh Abu Sufyan untuk memberi amaran kepada puak Quraisy tentang keberangkatan Muhammad s.a.w. untuk menyekat kafilahnya dan mendapatkan bantuan, Atikah binti Abdul Muttalib telah mengalami satu mimpi yang amat mengerikan; seorang penunggang unta memasuki Makkah sambil melaungkan suara meminta supaya mereka bersiap sedia menghadapi peperangan yang akan berlaku dalam masa tiga hari lagi. Penunggang unta itu memasuki Masjid al-Haram, memanjat Kaabah dan kemudian naik ke atas puncak bukit Abi Qubays. Kemudian di puncak bukit Abi Qubays itu dia mengambil seketul batu lalu dicampakkan ke bawah. Apabila mencecah kaki bukit, batu itu berkecai. Serpihan batu itu memasuki setiap rumah dan kediaman di dalam kota Makkah. Tidak ada sebuah rumah pun yang terkecuali.
Atikah menceritakan mimpi ngerinya itu kepada saudaranya al-‘Abbas bin Abdul Muttalib. Al-‘Abbas yakin bahawa ia merupakan satu mimpi yang benar. Dia meminta supaya Atikah merahsiakan mimpi itu dan jangan menceritakannya kepada sesiapa pun.
Di luar, al-‘Abbas bertemu dengan sahabat karibnya al-Walid bin ’Utbah. Dia menceritakan mimpi Atikah kepada al-Walid dan meminta supaya al-Walid merahsiakannya. Al-Walid pula menceritakannya kepada ayahnya, ’Utbah. Maka tersebarlah berita itu ke seluruh pelosok bumi Makkah. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Abu Jahal, dengan sombongnya dia menolak mimpi itu sambil berkata kepada al-’Abbas: ”Wahai Bani Abdul Muttalib! Adakah tidak cukup lagi lelaki kamu mendakwa menjadi nabi sehingga wanita pula yang mendakwa menjadi nabi? Kita akan lihat selepas tiga hari. Sekiranya benar apa yang kamu dakwa maka ia akan berlaku. Sekiranya tidak, kami akan rekodkan suatu catatan bahawa keluarga kamu adalah keluarga yang paling pendusta!”
Pengajarannya: Wanita sering dituduh sebagai golongan yang tidak pandai menyimpan rahsia. Namun tidak semua rahsia dibocorkan oleh wanita. Dan bukan lelaki sahaja yang berhak mendapat maklumat awal mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat dan negara.
ii. Zainab binti Muhammad s.a.w.
Antara tawanan perang Badar yang dibawa pulang ke Madinah ialah Abu al-’As bin ar-Rabi’ menantu Rasulullah s.a.w., iaitu suami kepada puteri baginda Zainab binti Muhammad s.a.w. dan anak saudara kepada Khadijah binti Khuwailid r.a.
Abu al-’As yang ditawan oleh Kharrasy bin as-Simah adalah seorang yang terbilang dari segi kedudukan, harta, perniagaan serta terkenal sebagai seorang yang amanah. Dia telah berkahwin dengan Zainab sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul atas cadangan Khadijah r.a. dan dipersetujui oleh baginda s.a.w. Setelah baginda diangkat menjadi Rasul, Khadijah dan semua puterinya termasuk Zainab telah beriman kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada Tuhannya. Namun Abu al-’As kekal dalam agama asalnya.
Abu al-’As mendapat tekanan daripada kaum Quraisy yang memusuhi Rasulullah s.a.w. kerana dakwahnya. Mereka mendesak Abu al-’As supaya menceraikan Zainab dan menawarkan mana-mana perempuan Quraisy sebagai ganti. Namun Abu al-’As enggan berbuat demikian. Baginya tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Zainab di hatinya.
Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Zainab tinggal di Makkah bersama Abu al-’As. Mereka tidak dipisahkan meskipun berlainan agama. Hukum Islam belum diturunkan sepenuhnya ketika itu.
Rasulullah s.a.w. membebaskan tawanan-tawanan Badar dengan mengambil tebusan. Zainab mengirimkan kalung yang dihadiahkan bondanya Khadijah r.a. pada hari perkahwinannya untuk menebus suaminya Abu al-’As. Melihat kalung tersebut, hati baginda s.a.w. sangat tersentuh. Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada para sahabat r.a. untuk membebaskan Abu al-’As dan memulangkan kembali kalung itu kepada Zainab. Mereka semua bersetuju. Maka Rasulullah s.a.w. membebaskan Abu al-’As dengan syarat dia mengizinkan Zainab berijrah ke Madinah di sisi ayahandanya.
Badar al-Kubra dan wanita – Bahagian II 28 September 2009
Abu al-’As bersetuju dengan syarat Rasulullah s.a.w. Beliau berangkat pulang ke Makkah. Setelah tiba, dia menyuruh Zainab yang ketika itu sedang hamil bersiap sedia untuk berhijrah. Rasulullah s.a.w. mengutus Zaid bin Harithah dan seorang lelaki daripada kalangan al-Ansar supaya menunggu Zainab di Batn Ya’jaj, kemudian mengiringinya hingga ke Madinah.
Ketika sedang membuat persiapan untuk berhijrah, Zainab dikunjungi oleh Hindun binti ’Utbah. Dia bertanya sama ada benar atau tidak Zainab hendak berhijrah. Zainab menafikannya. Namun Hindun tidak percaya, sebaliknya menawarkan pertolongan kepada Zainab sama ada wang atau barang-barang keperluan. Pertolongan yang ditawarkan memang diperlukan oleh Zainab, namun dia menolaknya kerana tidak yakin akan keikhlasan wanita itu. Setelah selesai bersiap, iparnya Kinanah bin al-Rabi’ datang membawa seekor unta untuk dinaiki oleh Zainab. Dengan bersenjatakan panah, Kinanah mengheret unta yang ditunggangi Zainab membawanya keluar dari Makkah pada waktu siang.
Apabila pihak Quraisy mengetahui keberangkatan Zainab dan iparnya, mereka berasa tercabar dan mengejar untuk menghalangnya. Orang yang pertama bertemu dengan Zainab ialah Hubar bin al-Aswad di Dzi Tuwa kemudian diikuti yang lain. Sedar akan dirinya dikejar musuh, Zainab yang berada di dalam sekedup di atas belakang unta terperanjat dan ketakutan sehingga gugur kandungannya. Kinanah melutut di hadapan unta dan menaburkan anak panahnya seraya berkata: ”Demi Allah! Siapa saja antara kalian yang rapat, aku hadiahkannya sebatang panah ini!”
Semua mereka tidak berani berbuat apa-apa sehingga datang Abu Sufyan bersama beberapa orang pembesar Quraisy. Abu Sufyan berkata: ”Wahai jejaka, simpan dulu panahmu! Mari kita berbincang!”
Kinanah meletakkan panahnya. Abu Sufyan menapak dan berhenti di hadapannya lantas berkata: ”Sesungguhnya tindakan kamu ini tidak tepat. Kamu membawa keluar seorang wanita secara terang-terang disaksikan oleh semua orang. Kamu tahu kekalahan dan kecelakaan yang menimpa kami serta apa yang dilakukan oleh Muhammad ke atas kami. Sekiranya kamu bertindak membawa anak perempuannya keluar secara terang-terangan sebegini, ditontoni semua manusia pasti mereka akan menyangka bahawa perkara ini disebabkan ketewasan yang menimpa kami dan ketidak upayaan kami menghalang kamu. Demi umurku, sesungguhnya kami tidak berhajat untuk menghalang wanita ini mendapatkan ayahnya. Bukan untuk itu kami berjuang. Tetapi aku meminta kamu bawalah wanita ini pulang. Apabila suara-suara telah reda, dan orang ramai tahu bahawa kami telah berjaya membawanya pulang, bawalah dia pergi menemui ayahnya secara bersembunyi.”
Kinanah menerima cadangan Abu Sufyan. Beberapa hari kemudian, apabila keadaan telah reda dia membawa Zainab keluar pada waktu malam dan menyerahkannya kepada Zaid yang sedang menunggu di Batn Ya’jaj untuk dihantar ke rumah ayahandanya, Rasulullah s.a.w. Tinggallah Zainab bersama ayahandanya di Madinah, manakala suaminya Abu al-’As menetap di Makkah.
Saat hampir tiba Fathu Makkah, Abu al-’As keluar berniaga di Syam dengan membawa modal dan barang-barangnya sendiri dan modal serta barang yang diamanahkan kepadanya oleh kaum Quraisy. Dalam perjalanan pulang, dia bertembung dengan pasukan tentera Islam. Semua harta dan barang dagangannya tertawan tetapi dia sendiri terlepas. Abu al-’As menyusup masuk ke Madinah waktu tengah malam untuk mendapatkan kembali hartanya. Dia meminta Zainab melindunginya dan Zainab membenarkan dia bermalam di rumahnya.
Menjelang waktu Subuh, Rasulullah s.a.w. keluar untuk bersolat di masjid bersama kaum muslimin. Ketika Rasulullah s.a.w. sedang solat bersama para jamaah, mungkin atas rasa bersalah melindungi seorang musyrik atau tidak mahu Rasulullah s.a.w. dituduh bersubahat, Zainab melaungkan suara dari saf wanita: ”Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku memberi perlindungan kepada Abu al-’As!”
Selesai solat, Rasulullah s.a.w. bertanya para jamaah, adakah mereka mendengar apa yang didengarnya? Mereka juga mendengar apa yang baginda dengar. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): ”Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya aku tidak mengetahui apa-apa sehinggalah aku mendengar suara yang kamu dengar sebentar tadi…” Kemudian baginda bergegas menemui Zainab. Baginda berkata kepadanya: ”Wahai puteriku, muliakanlah tempat tinggalnya tapi jangan biarkan dia mendekatimu. Sesungguhnya dia sekarang tidak halal bagimu.”
Rasulullah s.a.w. memanggil pasukan tentera yang menawan harta Abu al-’As. Baginda berkata kepada mereka (maksudnya): ”Sesungguhnya lelaki ini adalah keluarga kami seperti yang kamu tahu. Kamu telah menawan hartanya. Sekiranya kamu bermurah hati memulangkan hartanya, itulah yang kami sukai. Sekiranya kamu enggan, maka itu adalah pemberian Allah kepada kamu dan kamu lebih berhak ke atasnya.”
Semua mereka bersetuju memulangkan semua harta dan barang Abu al-’As. Abu al-’As membawa pulang ke Makkah semua harta itu dan memulangkan kepada mereka yang telah mengamanahkannya. Dia bertanya kepada kaum Quraisy adakah masih ada lagi harta mereka yang belum dipulangkan? Mereka menjawab, ”Tidak ada” sambil mengucapkan terima kasih atas kejujuran dan kesetiaannya. Lalu beliau mengisytiharkan: Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya. Demi Allah tiada yang menghalang aku untuk memeluk Islam ketika berada di sisinya di Madinah melainkan aku takut kamu menuduh aku hendak makan harta kamu. Apabila Allah telah mengembalikannya kepada kamu dan aku telah menyelesaikan tanggungjawabku, aku memilih untuk memeluk Islam.
Abu al-’As terus berangkat meninggalkan Makkah menuju ke Madinah. Maka Rasulullah s.a.w. menyatukannya semula dengan isteri kesayangannya, Zainab binti Rasulullah s.a.w.
Pengajaran: Sehebat manapun cinta antara manusia, cinta Allah dan Rasul itulah yang lebih utama.
Badar Al-Kubra dan wanita – Bahagian III (Akhir) 29 September 2009
iii. Ruqayyah binti Muhammad s.a.w.
Ruqayyah adalah puteri kedua selepas Zainab. Ummu Kulthum pula lahir selepas Ruqayyah. Ketika Ruqayyah dan Ummu Kulthum mendekati usia perkawinan, Abu Talib meminang mereka berdua untuk kedua-dua putera Abu Lahab. Ruqayyah berkahwin dengan ‘Utbah, dan Ummu Kulthum berkahwin dengan ‘Utaibah.
Tidak lama setelah perkahwinan itu, Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi rasul. Abu Lahab yang sangat memusuhi Islam memerintahkan kedua-dua anak lelakinya agar menceraikan isteri-isteri mereka. Maka atas perintah bapa, ’Utbah dan ’Utaibah menceraikan isteri mereka, Ruqayyah dan Ummu Kulthum tanpa alasan. Setelah diceraikan oleh ’Utbah, Rasulullah s.a.w. mengahwinkan Ruqayyah dengan Uthman bin Affan r.a.
Ruqayyah mengikuti rombongan yang berhijrah ke Habasyah (Ethiopia) yang dipimpin oleh suaminya, Uthman bin Affan membawa 11 orang lelaki dan empat orang wanita. Kemudian dia berhijrah ke Madinah selepas Rasulullah s.a.w. berhijrah.
Ketika Rasulullah s.a.w. bersiap-siap untuk berangkat menyekat kafilah Abu Sufyan, Ruqayyah jatuh sakit. Rasulullah s.a.w. menyuruh suaminya, Uthman bin Affan dan Usamah bin Zaid agar tetap tinggal di Madinah untuk merawatnya. Namun maut telah menjemput Ruqayyah ketika Rasulullah s.a.w. masih berada di medan Badar.
Usamah bin Zaid melaporkan: ”Kami menerima berita kemenangan Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin dalam peperangan Badar ketika sedang mengebumikan Ruqayyah r.a. Rasulullah s.a.w. mewakilkan aku menjaga Ruqayyah bersama dengan Uthman bin Affan r.a.”
Ketika membahagikan hasil rampasan perang Badar (ghanimah), Rasulullah s.a.w. telah memperuntukkan satu bahagian untuk Uthman. Semasa diberikan bahagiannya itu, Uthman r.a. bertanya: ”Bagaimana dengan pahala saya ya Rasulullah?” Baginda menjawab maksudnya: ”Dan engkau juga mendapat pahala yang sama dengan orang yang pergi berperang.”
Pengajaran: Atas alasan apa sekalipun, suami tidak harus mengabaikan kebajikan isteri.
iv. Ummu al-Fadhl (Lubabah binti Al-Harits)
Abu Rafi’, maula Rasulullah s.a.w. menceritakan: ”Saya adalah seorang hamba kepada al-’Abbas r.a. Cahaya Islam telah menerangi rumahnya ketika mana al-’Abbas memeluk Islam, diikuti Ummu al-Fadhl dan saya. Walau bagaimanapun, al-’Abbas r.a. menyembunyikan keislamannya.
Abu Lahab telah tidak ikut serta dalam peperangan Badar. Apabila mendengar kekalahan kaum musyrikin, kami rasa diri kami mendapat kekuatan dan kemuliaan. Saya seorang lelaki yang lemah. Pekerjaan saya membuat gayung di dalam bilik telaga zamzam.
Ketika saya sedang duduk mengukir gayung, Ummu al-Fadhl duduk bersebelahan dengan saya. Hati kami melonjak gembira menerima berita kemenangan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba muncul Abu Lahab mengheret kakinya dan bertenggek di birai bilik telaga zamzam. Sedang kami duduk, terdengar riuh rendah suara menyebut nama Abu Sufyan bin al-Harith yang baru tiba dari medan perang. Abu Lahab memanggil Abu Sufyan agar menghampirinya seraya berkata: ’Mari ke mari! Demi umurku, pastinya kamu membawa berita yang menggembirakan!’
Abu Sufyan duduk di hadapan Abu Lahab dikerumuni orang ramai yang ingin mendengar perkhabaran yang dibawanya. Dengan termengah-mengah dia menceritakan: ’Sesungguhnya pertempuran itu benar-benar seperti kita menyerahkan bahu-bahu kita kepada mereka. Mereka membunuh kita sesuka hati mereka dan menawan kita semahu-mahunya. Tetapi demi Allah aku tidak menyalahkan puak kita. Sesungguhnya kita bertembung dengan para pahlawan yang berpakaian serba putih menunggang kuda yang berbelang bertebaran antara langit dengan bumi…’
Mendengar apa yang diceritakan oleh Abu Sufyan, saya tidak dapat mengawal diri lalu bingkas bangun mengangkat tali bilik telaga zamzam dan menjerit: ’Demi Allah, itu adalah malaikat!’
Maka dengan spontan Abu Lahab menumbuk mukaku sekuat tenaganya. Aku cuba melawan, namun dia lebih pantas menolakku hingga tersungkur ke bumi dan terus memukulku bertalu-talu.
Ummu al-Fadhl mencapai sebatang tiang lantas memukul Abu Lahab menyebabkan kepalanya luka parah. Dia berkata kepada Abu Lahab: ’Kamu berani menyerang lelaki yang lemah ketika tuannya tiada bersama!’
Abu Lahab mengundur pergi. Tujuh hari selepas itu lukanya semakin bernanah dan membusuk sehingga tiada siapa sanggup menghampirinya sampai dia mati.”
Pengajaran: Wanita yang selalu dikatakan lemah, tidak bermakna iman dan semangatnya juga lemah.
v. Ar-Rabi’ binti An-Nadhar r.a.
Beliau merupakan ibu saudara kepada Anas r.a. Puteranya, Harithah bin Suraqah adalah orang yang pertama syahid daripada kalangan tentera muslimin dalam peperangan Badar al-Kubra. Ar-Rabi’ datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ”Ya Rasulullah, anda tentu mengetahui bagaimana kedudukan Harithah dalam diri saya. Sekiranya tempatnya di syurga, maka saya akan bersabar dan memohon ganjaran pahala daripada Allah. Sekiranya tempatnya lain daripada syurga, maka anda akan saksikan apa tindakan saya!”. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ”Adakah syurga itu hanya satu sahaja? Sesungguhnya syurga itu bukan satu, dan sesungguhnya anakmu berada di dalam syurga Firdaus!”
Pengajaran: Ibu sentiasa inginkan kebaikan untuk anaknya. Dan tidak ada pemberian yang lebih berharga daripada syurga, sehingga si ibu sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak supaya pergi berjihad fisabilillah.
Karya Ustazah Maznah Daud dari laman web www.malaysiaharmoni.com
Kisah wanita disebalik Perang Badar ini bukanlah wanita sebarangan tapi kadang-kadang kita tidak pernah kenal namanya seperti Atikah, ibu saudara Rasulullah saw dari sebelah bapa. Saya sekadar menambah ilmu dunia yang cetek dengan mengenali wanita mulia dalam sejarah agama saya sendiri.
No comments:
Post a Comment