KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

Showing posts with label cerita aku. Show all posts
Showing posts with label cerita aku. Show all posts

23 May 2011

LAMBAIAN KA`ABAH


Baitullah sedang menggamitku... Insya Allah saya akan berangkat ke tanah suci bagi menunaikan umrah pada 26 mei 2011..

Oleh itu posting di blog ini akan ditangguhkan buat sementara selama 2 minggu..

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi menjenguk blog alkurawi ini..

Saya mengharapkan sahabat-sahabat sekalian mendoakan agar Allah permudahkan perjalanan saya dan keluarga seramai 9 orang ke tanah suci, dianugerahkan kesihatan yang baik agar dapat menunaikan rukun-rukun umrah dan mudah-mudahan Allah terima umrah kami sekeluarga.. Amiiiin ya Rabb..

22 February 2010

CAHAYAMATAKU YG KE-3..SYUKUR YA ALLAH


Maaf kepada semua pengunjung blog ni sbb dah lama tak update..Saya bercuti panjang sbb isteri bersalin anak yang ke- 3.

Alhamdulillah... Allah telah kurniakan kepadaku seorang cahayamata lelaki pada hari sabtu yang lalu 13 Februari jam 1.05 minit petang. Bermakna sekarang ini aku mempunyai 2 orang putera dan seorang puteri. Terima kasih isteriku, kerana melahirkan anakku... Terima kasih Ya Allah atas kurniaanMu ini. Ketika aku laungkan Azan di telinga kanannya dan Iqomah di telinga kirinya, aku melihat matanya yang jernih memandangku seolah2 dia memahami dan mengiyakan lafaz Azan dan Iqomah tersebut dan itulah sebenarnya perjanjian setiap manusia yang diciptakan oleh Allah ketika di alam rahim lagi bahawa mereka tidak akan menyengutukan Allah dengan sesuatu pun.

Aku namakan dia MUHAMMAD ATIF RAYYAN. Ku berdoa kepada MU Ya Allah supaya menjadikan anakku ini seorang anak yang Soleh. ALLAHUMMA FAQQIHHU FIDDIN WA`ALLIMHU TA`WIL.

31 October 2009

`HARI TERBUKA MASJID NEGERI`

Maaf kepada sahabat2 semua coz dah lama tak update blog ni.. tak sempat nak update sebab sibuk menyiapkan kertas kerja konsep Hari Terbuka Masjid Negeri.

Konsep program ni lebih kurang macam `Sua Rasa` atau `Jom Heboh` cumanya lebih kepada mendekatkan masyarakat kepada masjid dengan pengembangan ilmu serta sosial yang dibenarkan oleh syarak..kiranya macam serampang dua matalah, hehehe. So, dengan adanya program ni dapat mengubah minda dan perspektif masyarakat bahawa masjid bukan hanya tempat untuk solat semata2 tapi peranannya lebih luas daripada itu.

Insya Allah kalau program ni diluluskan nanti, Masjid Negeri akan mempunyai `Identiti` atau `trade mark` yang tersendiri bagi menarik minat masyarakat mengunjungi masjid dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Diharapkan kepada sahabat2 semua supaya dapat memberi apa jua bentuk sokongan agar program ini dapat direalisasikan bagi kepentingan ummah.

Saya juga mengharapkan kepada semua pengunjung2 yang melayari blog ni untuk memberi pendapat, pandangan atau pun komen di dalam `chat box` di bawah untuk penambahbaikan program, aktiviti dan prasarana di Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan.

29 September 2009

MEMORI INDAH DI BHG. PENYELIDIKAN JAIPk


Hari ini adalah hari terakhir aku bertugas di Bhg. Penyelidikan JAIPk. Maka secara rasminya berakhirlah sudah tugas aku mengadakan pemeriksaan di premis-premis yang memohon sijil Halal. Ikhlas aku katakan bahawa aku seronok bertugas di Bahagian ni. Banyak pengalaman yang aku dapat sepanjang 4 bulan bertugas di sini.

Pengajaran yang paling bermakna ialah berkaitan dengan produk atau makanan Halal. Sebelum ini aku tidak begitu teliti untuk membeli barangan dapur atau produk makanan di super market atau di premis-premis yang lain. aku tidak kisah samada barangan tersebut ada logo halal atau pun tidak. Aku yakin bahawa ramai lagi masyarakat islam di luar sana pun tidak kisah tentang logo halal ni.

Kita ummat Islam khususnya perlu prihatin tentang logo Halal ni, kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Adakah kita mahu darah daging kita dan anak isteri kita tumbuh dari hasil makanan yang haram? Darah dan daging yang tumbuh dari hasil makanan yang haram maka api nerakalah yang layak untuk membakarnya. Sebab itulah Islam menyarankan supaya penganutnya makan makanan yang halal, bersih lagi suci. Itulah keindahan Islam yang mengatur kehidupan kita sejak kita lahir hinggalah kita meninggal dunia, semuanya diatur secara baik dan sistematik. Berbahagialah bagi mereka yang menganutnya dan beramal dengan segala suruhannya dan Celakalah! bagi mereka yang memusuhinya.

Esok pagi aku akan lapor diri di Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan. Bermulalah tugas dan pengalaman baru bagiku. Aku diamanahkan untuk menjalankan tugas Imam Besar. Satu tugas yang aku rasakan sangat berat untuk aku laksanakan kerana aku perlu menjadi role model kepada imam-imam yang lain. Walaupun aku pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Muhibbuddin Shah, bersebelahan dengan Hospital Tuanku Bainun, tetapi untuk menjadi ketua Imam, aku merasakan bahawa aku terlalu kerdil. Pernah aku mohon pada Tuan Guru aku yaitu Dato` Pengarah JAIPk untuk menarik diri, tetapi beliau menasihatkan supaya aku pergi terlebih dahulu untuk menjalankan tugas tersebut.

Aku tidak bimbang dengan kritikan atau surat layang yang mungkin akan dikeluarkan nanti oleh individu yang tidak berpuas hati dengan perlantikan ini, tetapi apa yang aku bimbangkan adalah sekiranya aku tidak mampu untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku. Ya, Allah bantulah aku dalam melaksanakan amanah ini, berikanlah kekuatan kepadaku untuk menggalas bebanan ini. ku pohon kepada MU Ya Allah kerana hanya pada MU tempat aku memohon pertolongan.

Pasti ada hikmahnya disebalik semua ini, mungkin Allah mahu aku menjadi manusia yang baik, lalu ditempatkan aku di Masjid Negeri, ataukah Allah telah memakbulkan doa ibuku.. kerana sering kali ibuku berdoa semenjak aku masih di bangku sekolah lagi, agar aku menjadi Imam Besar seperti Tuan Guruku Yg. Bhg. Dato` Syeikh Mohamah Noor bin Mansor Al-Hafiz yang menjadi idolaku. Terima kasih mak atas doa mak dan ayah tu...Walau apapun aku tetap bersyukur kepada Mu Ya Allah atas segala nikmat yang telah kau anugerahkan kepadaku.

YA ALLAH! AMPUNILAH DOSA KEDUA IBU BAPAKU, KASIHANILAH MEREKA SEPERTIMANA MEREKA MENGASIHIKU SEWAKTU AKU MASIH KECIL.

Terima Kasih diucapkan kepada semua warga di Bhg. Pentyelidikan, yang banyak memberi tunjuk ajar kepadaku terutama kepada KPP Us. Jamil, Us. Fakhrul, Us. Hafiz, En. Afzir, Kak Su, Kak Ila, Hj. Azhar, En. Harudin, En. Sham dan semua pelajar praktikal. Kemaafan dipinta andai terkasar bahasa atau terlajak cara sepanjang saya berada di Bhg. Penyelidikan ini. Sesungguhnya saya amat gembira dapat berkenalan dan bekerja dengan anda semua.

`Bermaafanlah kita semua,
Macam lidah dengan gigi,
terkadang tergigit juga,
Dulu kita muda,
sekarang dah semakin tua,
Dulu gurau jadi suka,
sekarang hati mula terasa,
Takde Angpau atau duit raya,
Cuma salam dihulur maaf dipinta.`

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

KULLU `AM WA ANTUM BIKHAIR`

"SELAMAT TINGGAL BAHAGIAN PENYELIDIKAN"

Terima kasih kepada semua yang mengenali dan memberi sokongan kepada saya. Moga Allah membalas jasa kalian semua. Amiiiin.

16 September 2009

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN



huh! pejam celik pejam dan celik dah nak masuk Hari Raya Aidilfitri..! Saya bercadang nak balik kampung lepas waktu berbuka esok, insyaAllah..jadi selama saya berada di kampung, saya akan berhenti berblogging buat beberapa hari.. Jadi kengkawan blogger semua moga kita berjumpa kembali lepas Aidilfitri nanti ye.. huhu

Rasa dah tak sabaq lagi nak balik kampung ni.. haih.. sebab nak jumpa sudara mara di kampung, jumpa mak ayah dan kawan2 sekolah dulu.. terasa nak pergi bendang untuk menikmati keindahan ciptaan tuhan, disamping mengingati memori indah diwaktu dulu.. hehe.

Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku
Di tepian mandi
Danauku hijau yang aman damai selalu
Nun di sanalah tempat aku bertemu
Aku dan dia
Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya
Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dan lagu
Dendang perantau

Huhuhu .. sedih ..
He he he .. selamat hari raya maaf zahir dan batin pada semua pelayar setia dan tak setia blog aku ni.
Semoga semuanya selamat pergi dan balik dari beraya. Pandu cermat, duit jimat.

28 May 2009

KISAH TEMUDUGA AKU

Rasanya dah lama aku tak update blog ni... bukannya apa, sibuk sangat ditambah pula dengan demam baru-baru ni. walau bagaimana pun Alhamdulillah aku dah sihat sikit.

Lega rasanya sebab dah habis interview. Pagi semalam (28/05/2009) sampai ke petang aku berada di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) di Tronoh kerana menghadiri temuduga Jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S.41. Boleh tahan juga temuduganya. Ramai calon yang hadir, lebih kurang 66 orang.. Calon dari JAIPk sendiri pun dah hampir 13 orang, sedangkan yang akan dipilih hanyalah sekitar 5 orang untuk mengisi perjawatan di JAIPk.

Jadualnya padat, di sebelah pagi Perasmian Dan Taklimat oleh Tim. Pengarah JAIPk. Lepas rehat ujian IQ test.. punyalah susah soalannya.. ada 40 soalan mesti dijawab dalam masa 45 minit... ada ke patut suruh cari jawapan berapa ekor bilangan ayam dan arnab.. soalannya lebih kurang begini ` ahmad bertanya kepada bapa saudaranya ada berapa ekorkah ayam dan arnab yang dipeliharanya? maka jawab bapa saudaranya ada 50 kepala dan 140 kaki. agaknya bapa saudara ahmad ni mental problem kot atau yang buat soalan yang mental ;-).

Selepas itu kami dipecahkan kepada 8 kumpulan, setiap kumpulan 7 - 8 orang. Kumpulan aku semuanya okey belaka, ada loyar, pengetua MADIWA, guru MRSM, PLKN dan lain2. Panel penilai kumpulan kami ialah Cik Azlina dan Fasilitatornya Us. Bob ( INTIM) dan Us. Zulkhairi (Bhg. Pendidikan). Slot LDK kami diberi satu cerpen yang bertajuk Mencari Watak Diri. Fasilitator minta kami mencari watak yang paling baik dan yang paling jahat dalam cerpen tersebut.

Selepas selesai dibentangkan kami berhenti rehat dan dan masing2 mencabut undi untuk memilih tajuk bagi pengucapan awam. Lepas makan tengahari dan solat zohor slot pengucapan awam diadakan dan tajuk yang aku dapat ialah Keseronokan Bekerja.

Selepas itu slot hafazan Quran, kami dikehendaki membaca surah Al-Fatihah dan Al-A`la. Lepas tu ujian bertulis surah Al-A`la tadi dalam lima ayat sahaja.

Selepas berhenti rehat dan solat Asar ada lagi ujian yang terakhir iaitu ujian fizikal. Kena tekan tubi, berlari, melompat dan sbgnya. Jam 6 lebih baru selesai semuanya.

Samada aku terpilih atau tidak itu adalah ketentuan yang maha Esa, aku pasrah dan menerima apa jua ketentuannya. Sekiranya aku tidak terpilih sekalipun, aku tetap bersyukur kerana sekurang2nya aku telah mempunyai pekerjaan bagi mencari rezeki yang halal untuk menyara keluargaku jika nak dibandingkan dengan mereka yang menganggur di luar sana.

Terima Kasih Ya Rabb

05 May 2009

HARI PERTAMA AKU DI BHG. PENYELIDIKAN JAIPk



Semalam 4 Mei 2009, hari pertama aku bertugas di Bhg. Penyelidikan JAIPk setelah ditukarkan dari INTIM. Firtsly aku jumpa KPP Bhg. Penyelidikan A.F. Us. Jamil untuk lapor diri bertugas. Kebetulan pagi semalam perjumpaan KPP dengan semua staf Bhg. Penyelidikan, jadi aku diperkenalkan dengan semua staf dan seorang praktikal di Bhg. tersebut.

Perjumpaan hanya berlangsung kira-kira 15 minit disebabkan KPP ada morning prayer bersama Dato` Pegarah JAIPk. Lebih kurang pukul 9.00 pagi Us. Hafiz ajak aku membuat pemeriksaan di kilang-kilang yang ingin memperbaharui sijil pengesahan halal. Kami keluar berempat bersama En. Hisham (driver) dan Hj. Azhar terus ke lokasi kilang tersebut di menglembu.

Lokasi pertama kami ialah kilang kopi milik pengusha berbangsa cina. Alhamdulillah... sepanjang pemeriksaan kami tiada perkara yang meragukan di dalam proses pembuatan kopi tersebut.

Lokasi seterusnya ialah ke kilang memproses tepung ayam goreng berdekatan dengan lokasi yang pertama tadi. Walaupun persekitaran kilang tersebut kurang memuaskan tetapi masih boleh dipertimbangkan untuk diberikan sijil halal kerana bahan-bahan yang digunakan adalah halal belaka.

Selesai pemeriksaan tersebut kami bergerak ke Kafeteria kilang Carsem di Jelapang. Hasil pemeriksaan mendapati serbuk perasa yang digunakan dalam masakan di kafeteria tersebut tidak mempunyai logo halal dari mana-mana agensi halal seluruh dunia. Kami mengesyaki serbuk perasa tersebut diimport dari Thailand.

Seterusnya kami bergerak ke premis pembungkusan minyak masak. Sijil pengesahan halal yang dipamerkan oleh pengusha tersebut tidak diiktiraf oleh JAIPk mahu pun JAKIM. Mereka mengguna pakai logo Halal dari IFRC (International Food Research Center) milik Konsultan swasta yang tidak lagi diiktiraf. Kami telah memberi amaran kepada pengusha terbabit supaya memperbaharui pengesahan halal di Bhg. Penyelidikan JAIPk atau kami terpaksa bertindak membuat aduan kepada KKDN.

Lokasi kami yang terakhir adalah di Kafeteria Hospital Chinese Meternity. Semua bahan yang digunakan di dalam masakan tidak meragukan kami kecuali mee dan kotiaw yang kami tidak dapat pastikan dari mana pemilik kafeteria tersebut mendapat bekalan. Katanya mee dan kotiaw tersebut halal... so, kami minta tauke tersebut supaya meminta sijil pengesahan halal daripada suplier pembuat mee dan kotiaw dan faxkan kepada kami.

Selepas selesai pemeriksaan tersebut kami pun balik ke pejabat. Sampai di pejabat KPP maklumkan kami dijemput ke rumah MB Perak untuk bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat untuk keselematan kerana beliau akan menduduki kediaman Rasmi MB Perak. So, aku pun minta kebenaran KPP untuk balik awal sebab nak repair kereta aku yang tak boleh start pagi tadi. Rupa-rupanya bateri kereta aku dah kong. Kenalah tukar bateri baru, tawar punya tawar dapatlah RM170.00 (bateri kering).

Lebih kurang pukul 6.30 ptg aku keluar dari rumah untuk ke rumah MB, anak aku yang sulung menangis nak ikut, so aku pujuk dia nak bawa jalan-jalan. Si Afif anak aku yang sulung ni pantang nampak aku keluar pasti nak ikut. Masa aku bekerja di INTIM dulu kerap juga juga dia ikut aku ke INTIM kerana aku bekerja sebelah malam untuk handle kursus . Nak pergi rumah MB tak kan nak bawa dia pulak.

Sampai kat rumah MB aku tengok punya la ramai orang yang datang, aku terserempak dengan Us. Yusop Husin (Tim. Pengarah JAIPk), Us. Saiful Azizi (Pengetua INTIM) dan Us. Farid (PTA Kg. Gajah), sembang-sembang dengan diorang sekejap sebelum masuk ke dalam rumah MB.

Begitulah ceritanya pada hari pertama aku bertugas di Bhg. Penyelidikan JAIPk. Walau pun bilik, komputer dan kemudahan lain masih belum disediakan, aku dapat merasakan bahawa aku akan selesa dan seronok bekerja di Bhg. ini bersama dengan staf-staf lain yang baik-baik belaka.

03 April 2009

AKU AKAN BERTUKAR KE BHG. PENYELIDIKAN JAIPk

Hari ni (Jumaat 3 April 2009) aku kena pergi mesyuarat kat kompleks islam. Mesyuarat diadakan di Pejabat Mufti. Sebelum masuk ke bilik mesyuarat aku terserempak dengan KPP Bhg. Penyelidikan JAIPk, Us. Jamil, dia tanya aku bila nak pindah ke Penyelidikan? aku terpinga-pinga tak tahu hujung pangkal. Melihat keadaan aku yang terpinga-pinga tu dia menjelaskan pada aku bahawa surat pertukaran dah pun keluar. Masalahnya aku belum dapat lagi surat tu.

Tak lama kemudian Dato` SS pun sampai untuk mempengerusikan Mesyuarat Program Tilawah peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan Julai nanti. Tahun ni giliran Negeri Perak sebagai tuan rumah. Sebagai anak jati Perak aku turut rasa berbangga kerana negeri aku dipilih sebagai tuan rumah. Kalau ada rezeki boleh berjumpa dengan kawan-kawan yang sama-sama belajar kat mesir dulu, maklumlah seluruh Malaysia akan berkampung di Perak nanti.

Habis mesyuarat aku terus balik ke INTIM dan terus telefon cc bertanyakan surat pertukaran aku tu, tapi cc kata tak ada. Sungguh Ajaib!! Ibu pejabat kata dah bagi pada INTIM, INTIM kata belum dapat. Tak berapa lama kemudian, Nor pelajar praktikal poli bawa surat tu bagi kat aku. 

Lega sikit rasanya sebab dah dapat surat, walaupun surat tu ada kesilapan sikit pada gred jawatan aku.. so, boleh lah aku berkemas-kemas, buat nota serahan tugas dan sebagainya. kalau takder surat tak berani aku nak berkemas takut tak jadi tukar pulak.

Aku pun terus telefon Cik Wahidah yang akan bertukar dengan aku kat INTIM ni bertanyakan bila dia nak masuk INTIM? Dia nak minta tangguh sebulan sebab nak siapkan kerja-kerja dia di Bhg. Penguatkuasaan. Aku cakap pada dia hari Isnin ni mai lapor diri dulu dan minta pandangan dari Pengetua INTIM. Aku tak kisah nak tukar bila-bila masa pun cuma aku kasihankan kawan2 aku kat INTIM, nanti diorang terpaksa ambil alih kursus aku pulak sedangkan Cik wahidah belum masuk INTIM lagi. 

Aku pun akan lapor diri di Bhg. Penyelidikan hari Isnin ni. Kalau ikutkan arahan surat yang  diterima  pertukaran tu berkuatkuasa 1 April 2009. Apa pun keputusannya hari Isnin ni lah. SELAMAT TINGGAL INTIM... Selama 3 tahun aku bertugas di INTIM, banyak pengalaman pahit dan manis yang telah aku lalui, dan Insya Allah... aku akan kongsi pengalaman tu dengan korang semua suatu hari nanti.

So, rajin-rajinlah korang tengok blog aku ni... dan jangan lupa kalau nak order produk hiraq call jer aku...aku rekemenkan produk QHAWWI KURMA HERBAL ESSENCE (Khasiat pati kurma untuk lelaki) dan HIRAQ KARMILA KURMA HERBAL ESSENCE (Khasiat pati kurma untuk wanita) pasti terangkat punya... hehehe.

28 March 2009

KENANGAN SEBAGAI GURU DI EHYA ASSHARIF





























Gambar ini mengingatkan aku semasa mengajar di Maahad Al-Ehya Assharif. Inilah sebahagian anak2 muridku. Hampir 3 tahun aku mengajar diorang dan selama 3 tahun itulah banyak kenangan manis aku bersama mereka.
Aku mengajar mata pelajaran tajwid, pendidikan islam dan tasmi` al-quran. Aku rasa takde sorang pun yang tak pernah kena rotan dengan aku, semuanya pernah aku rotan tak kira lelaki atau perempuan.
Hari pertama kalau tak menghafal kena berdiri sampai habis kelas, hari ke 2 kalau tak hafal juga aku rotan, dan hari ke 3 kalau tak dapat juga aku jemur tengah panas, itulah antara denda yang aku kenakan kepada murid2 aku.
Masa mengajar dulu aku bukannya garang sangat cuma tegas je, lebih2 lagi hal yang berkaitan dengan disiplin, sebab aku nak tengok anak murid aku berjaya lebih daripada diri aku sendiri. Sering kali aku berpesan kepada diorang kalau pelajar lain buat salah aku bagi 1 rotan tapi kalau anak murid aku sendiri yang buat salah aku bagi 2 rotan sebab mereka adalah orang yang menghafal Al-quran mesti menjadi contoh yang baik kepada pelajar lain.
Alhamdulillah... berkat rotan aku itulah aku dengar kabor ramai antara anak murid aku yang dah berjaya... ada yang jadi engineer, doktor, bisnesman, technician, ilmuan, cendikiawan dan macam2 lagi, yang penting takde yang jadi tak ketahuan.
Peristiwa yang paling menyedihkan aku ialah ketika terpaksa berpisah dengan diorang sebab aku nak sambung belajar kat Mesir. Maklumlah dah 3 tahun bergaul dengan diorang, aku dah anggap diorang macam anak2 aku sendiri. Walaupun aku masih bujang ketika itu tapi aku minta diorang panggil aku ayahanda. Ramai yang hantar aku pergi KLIA termasuk guru2 yang rapat dengan dengan aku, antaranya yang masih aku ingat ialah muammar, mamduh, wafir, ab, afirah, fasihah dan ramai lagi.
Terima kasih kepada murid2ku semua kerana memberi semangat kepada ayahanda untuk menuntut ilmu.
Terima kasih kepada rakan2 seperguruan yang masih mengingatiku.
Terima kasih kepada Ayahanda, Bonda serta keluarga yang membesarkan ku dengan penuh kasih sayang.
Terima kasih kepada teman2 yang mengenaliku.
Terima kasih kepada isteri dan anak2 ku kerana memahami dan menyayangiku.
Terima kasih yang tak terhingga ku lafazkan kepada yang Maha Esa, tuhan yang mencipta dan menghidupkanku di dunia ini, memberi peluang kepadaku untuk melihat keindahan alam ciptaanNYA.
Hanya kepadaMu aku beriman dan berserah diri.

13 March 2009

MINGGU YANG MEMENATKAN

Minggu ini adalah minggu yang amat memenatkan aku.. Terpaksa handle 3 kursus berturut-turut..

1. Bermula dengan Kursus Pemahaman Tahap Kecekapan (PTK) untuk pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Perak Gred S pada 10-12 Mac 2009 (Selasa-Khamis)

2. Diikuti pula dengan Kursus Pengajaran Dan Pembelajaran Berkesan (P&P) untuk guru-guru Tahfiz pada 13-15 Mac 2009 (Jumaat-Ahad)

3. Disambung lagi dengan Kursus Teknologi Maklumat (ICT) pada 16 Mac 2009 (Isnin-Rabu)

Itulah rutin tugas aku sebagai Pegawai Latihan dan Penyelaras kursus. Itu pun kadang-kadang orang melihat dan mengatakan kami tidak ada kerja di INTIM.

Semua kursus terpaksa dihandle dari A sampai Z sebab tak cukup kakitangan. Bermula dari deal dengan penceramah, menaip surat kepada penceramah dan peserta, buat sijil peserta hinggalah tamat kursus. Lepas kursus nak kena buat laporan pulak.

Mujurlah tahun 2009 ni ada PA baru masuk, tak lah membebankan sangat sebab kerja-kerja fotostat bahan kursus dan masukkan bahan dalam fail kursus, tampal stem surat untuk peserta dan penceramah diserahkan kepada PA. Kalau tak.., dulu aku yang kena buat semua tu.

Masa Kursus PTK ramai peserta yang marah kat aku disebabkan ada peserta yang tak dapat sijil. Aku hanya menurut perintah sahaja. Pengetua arahkan peserta yang tak mencapai kehadiran kursus sebanyak 90 % tidak akan diberikan sijil. Sebab itulah sijil diorang aku tak sediakan, takkan nak langgar arahan Pengetua pula. Kita kena patuh pada arahan ketua selagi mana arahan tersebut tidak melanggar syariat.

Hari ni kursus P&P, slot malam ni diisi oleh Y. Bhg Dato` Syeikh Mohamah Nor bin Mansor Al-Hafiz selaku pengarah JAIPk. Beliau adalah guru aku merangkap pengetua semasa di Tahfiz Negeri Perak dulu. Masa tu beliau menjawat jawatan sebagai Imam Besar Masjid Negeri Perak. Dialah guru yang amat aku kagumi dan hormati. Dengan ucapan dan amanat dari beliau tadi membuatkan aku rasa hilang penat. Syukran Kathiran Ya Syeikhul Kiram.

Selepas beri taklimat kepada peserta kursus tadi, zaujah aku call, bagitau anakku afif yang berusia 3 tahun tu demam. Sebenarnya dari semalam lagi dia dah tak berapa sihat. So, tak sempat nak supper dengan peserta, aku bergegas balik rumah. Singgah kat Restoran Pakwan di manjoi belikan kotiaw untuk zaujah aku. Kemudian singgah pulak kat 7 eleven di Silibin beli cool fever untuk afif. Sampai rumah aku tengok afif dah tidur. Zaujah aku pulak nampak letih kerana melayan karenah anak-anak aku. Maafkan baba umi sebab minggu ni baba busy sangat, terpaksa serahkan tanggungjawab menjaga anak-anak sepenuhnya pada umi. Maafkan baba, okey...Baba harap umi faham.

Panas sangat badan afif malam ni, rupanya dia tak mau makan ubat kata zaujah aku. Kesian pulak aku tengok si afif ni, dah la badannya kurus makan pun tak mau. Aku pun kejutkan dia untuk makan ubat, terpaksa tipu dia, masukkan ubat dalam botol scott emulsion. Kalau afif tau ubat demam dia takkan makan.

Aku suapkan kotiaw tapi afif makan sikit je.. biasalah tu dah demam mana ada selera nak makan. Aku pun bancuhkan susu sambil pujuk dia untuk tidur. Bila semua dah tidur aku pun taiplah cerita ni untuk dimasukkan dalam blog aku, korang pun baca, habis cerita… aku dah ngantuk nak tidur, esok kalau panjang umur kita jumpa lagi. Wassalam…

11 March 2009

TERINGAT MASA BELAJAR DI MESIR

Teringat aku semasa sedang belajar di mesir.. sungguh indah saat itu. Teringin sangat nak pegi sekali lagi, tapi kali ni nak bawa isteri dan anak-anak, nanti boleh tunjukkan pada anakku si afif & aliya tempat baba diorang belajar. Bukannya apa... nak bagi semangat pada diorang supaya belajar bersungguh-sungguh hingga dapat menjejakkan kaki ke negara orang. Banyak berjalan luas pandangan dan pengetahuan. Inilah peluang keemasan untuk mengkaji, melihat dan memahami budaya dan negara orang. Allah mencipta manusia itu berlainan bangsa, agama dan berbagai warna kulit.

Aku sangat-sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada ku untuk menjejakkan kaki ke bumi Mesir yang lebih dikenali sebagai "Ardhul Kinanah" (tempat lahirnya Para Anbiyak) tetapi perlu diingat bahawa dalam masa yang sama juga bumi Mesir adalah tempat lahirnya manusia yang menentang Allah yaitu Firaun, bahkan Firaun sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan. Jadi barang siapa yang pergi ke Mesir kerana nak mencari kabaikan pasti akan mendapat kebaikan, dan jika ingin mencari kejahatan pasti akan mendapat keburukan.




Sempat lagi main bowling sebelum imtihan.









Sedang mencuba tarbus untuk dibawa balik ke malaysia.

Piramid
Firaun yang mengaku sebagai tuhan akhirnya mati juga. Diberikan berbagai nikmat oleh Allah tetapi tidak bersyukur malah menentang Allah. So, janganlah kita sombong sangat apabila diberikan kekayaan, pangkat dsbnya. Itu adalah ujian untuk kita.



Ni gambor masa kurus dulu sebelum kahwin, pinggang saiz 32... sekarang dah 35 :








Piramid dan sphinx atau Abu hol


Ramai pelancong dari luar negara.

Syeikhul Azhar tak berapa suka student Azhar melawat piramid ni, kata mereka buat apa nak pegi tengok tempat orang yang menentang Allah, lebih baik pergi ziarah maqam para Awliya` dan orang soleh dapat juga pahala. Memang ada kebenarannya kata-kata tersebut.


Tengah makan KUFTAH antara makanan popular di Mesir.. teringin pulak rasanya, maklumlah dah 3 tahun terbiasa makanan sana.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN



Dilahirkan pada 2 Januari 1975 di Kg . Jemerang Star Batu Kurau, Perak dalam keluarga yang sederhana kepada pasangan Kariah @ Zakaria bin Mohamad dan Ramlah binti Abdullah Omar. Ayah lebih dikenali sebagai Pak Anjang Kria hanya bekerja kampung dan disegani sebagai guru silat Gayung Fatani manakala ibu adalah suri rumah sepenuh masa.. Anak bongsu daripada 8 orang adik beradik.

Berketurunan Melayu Pattani.

Mendapat pendidikan awal di Sek. Ren. Keb. Kg. Gudang.

Tamat Darjah 6, menyambung pengajian di Sek. Men. Dato` Kamaruddin Batu Kurau kelas 1 Perdagangan 1 (1P1).

Kemudian pada tahun 1989 memasuki sekolah Maahad Al-Ehya Assharif, Gunung Semanggol, Perak sehingga tahun 1995. Maahad Al-Ehya Assharif pernah di gelar oleh penjajah sebagai “ Dangerous From Mauntain” (Bahaya Dari Gunung) kerana sekolah tersebut banyak melahirkan cendikiawan dan ulamak termasuklah lahirnya parti Hizbul Muslimin yang telah ditubuhkan oleh Almarhum Ust. Abu Bakar Al- Baqir yang pengasas sekolah tersebut.

Tahun 1996 hingga tahun 1999 melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Perak di Masjid Negeri Ipoh.

Setelah mendapat Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ditawarkan oleh pihak Maahad Al-Ehya Assharif untuk menjadi Guru Tahfiz di sekolah tersebut hampir 3 tahun.

Pada tahun 2001 melanjutkan pengajian di Maahad Qiraat Al-Azhar,Shoubra Mesir (Unuversiti Al-Azhar)dalam bidang Takhassus Qiraat selama 3 tahun.

Seringkali merantau ke Jerman, London Dan Amsterdam untuk bekerja bagi menampung perbelanjaan pengajian tiap kali tibanya cuti semester di Mesir.

Tamat pengajian pada tahun 2004 dengan segulung Ijazah Sarjana Muda (kepujian).

Kembali ke tanah air Malaysia dan berkhidmat sebagai Penyelia KAFA (sambilan) di Bhg. Pendidikan JAIPk dari Ogos 2004 hingga Oktober 2005.

Mendapat tawaran menjadi Imam (kontrak) di Masjid Muhibbuddin Shah, Jln Hospital Ipoh sehingga 31 Disember 2005.

3 Januari 2006 dilantik sebagai Pen. Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S 27 dan ditempatkan di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) sehingga sekarang.

08 March 2009

HAPPY BIRTHDAY MY SON


Selamat Hari Lahir Ya Bunayya Muhammadd Afif Nabil.. (06.01.06)

Semoga Allah memberkati mu dan melimpahkan rezeki kepada mu berupa ilmu yang berguna untuk diri mu dan agama Nya.

Ku berpesan kepada mu seperti Luqman Al-Hakim berpesan kepada anaknya ;

1. YA BUNAYYA LA TUSYRIK BILLAH (wahai anakku jangan kamu mempersekutukan Allah, ia adalah suatu kezaliman yang besar)

2. BERBUAT BAIKLAH KEPADA KEDUA IBU BAPA MU

3. PERBUATAN BAIK ATAU JAHAT WALAU SEKECIL MANA SEKALI PUN TETAP AKAN DIKETAHUI ALLAH DAN AKAN DIBALAS OLEH ALLAH S.W.T.

4. DIRIKANLAH SOLAT.

5. AJAKLAH MANUSIA KEPADA MA`RUF DAN CEGAHLAH KEMNGKARAN DAN BERSABARLAH ATAS APA YANG MENIMPA MU.

6. JAGANLAH SOMBONG DENGAN MANUSIA DAN JANGANLAH ANGKUH BERJALAN DI ATAS MUKA BUMI INI.

7. BERSEDERHANALAH DALAM HIDUP DAN LUNAKKANLAH SUARA MU.

Semoga Panjang Umur dengan melakukan ketaatan dan beribadah kepada Allah s.w.t.

DARI BABA & UMI MU.....

07 March 2009

my sweetheart






25 Disember 2005 merupakan tarikh keramat yang mengubah statusku sebagai suami.

Semoga jodoh kami berpanjangan dan bahagia hingga ke akhir hayat seperti Muhammad dan Khadijah.

Bersama isteri dan anakku Dr. Nurazlin dan Muhammad Afif Nabil bercuti di Cameron Highlands.

my son n daughter















Anak ku muhammad Afif Nabil lahir 06.01.2006 (Jumaat) dan Nuraliya Maisarah 28.09.2008 (Ahad) penyambung zuriat keturunanku.

Ku berdoa kepada Allah agar menjauhkan zuriat keturunanku dari kejahatan syaitan yang direjam. Mudah-mudahan mereka menjadi anak yang soleh dan solehah dan pejuang Islam serta mengembangkan zuriat seperti Ali dan Fatimah a.s.