Kepercayaan turun-temurun masyarakat Melayu
Oleh
Noor Hasnah Adam
Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran maksud negatif atau positif.
Misalnya, seseorang yang sedang sakit tenat, tiba-tiba didekati atau dihinggapi kupu-kupu, dipercayai kehidupannya sudah tidak lama lagi. Jika anjing menyalak lama di tengah malam, masyarakat Melayu percaya adanya makhluk halus yang berkeliaran Demikian pula jika terdengar suara burung hantu atau gagak hitam di tengah malam, itu petanda musibah.Biasanya kita difahamkan, kalau katak berbunyi, itu petanda hari nak hujan.
Kalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.
Namun ada juga yang mempercayai kalau katak berbunyi bersahut-sahutan, bermaksud akan berlaku ribut puting beliung.
Begitu juga, jika banyak kelkatu naik menghurungi cahaya lampu, itu menandakan akan berlaku banjir.
Kucing adalah binatang yang rapat dengan orang Melayu selain ayam. Justeru banyak petanda yang ditunjukkan oleh kucing yang ditanggap orang Melayu mempunyai maksud tertentu.
Kata orang, kalau ada kucing membersihkan muka di hadapan pintu, itu menunjukkan akan didatangi tetamu yang cantik dan pembersih.Sekiranya ada burung yang tersesat ke dalam rumah kita juga menunjukkan tuan rumah akan mendapat rezeki dan ada tetamu yang akan datang.
Namun kalau kumbang atau belalang pelesit yang masuk ke dalam rumah, bermaksud ada benda mistik yang tak elok bertandang.
Cicak pula memang ada di mana-mana. Jika cicak berbunyi, itu menunjukkan cicak mengiyakan percakapan kita. Cicak dianggap berkata atas dasar kebenaran
Sekiranya kita berjalan dan dilintasi binatang juga mempunyai beberapa maksud. Kalau kucing yang melintas jalan kita, itu bermaksud kita akan berjumpa kawan di dalam perjalanan.
Namun kalau biawak yang melintas jalan kita, bersedia untuk menanggung beban.
Mungkin melalui kepercayaan inilah wujudnya peribahasa ‘biawak hidup’ yang menyamakannya dengan manusia yang tidak memberi hasil dan hanya membebankan orang lain.Sekiranya kita didatangi binatang-binatang tertentu seperti kala jengking, katak, cengkerik, belalang, kupu-kupu, kumbang, dan sebagainya, sebaik-baiknya tidak diganggu atau dibunuh.
Sewajarnya ditangkap dan dilepaskan di luar rumah kerana kehadiran binatang-binatang ini terjadi secara alamiah.
Walaupun kebenaran daripada tanda-tanda yang terjadi ini kadangkala banyak diragui, namun ada kalanya memang wujud hubungan antara kejadian-kejadian tersebut dengan hukum alam. Hanya Tuhan yang tahu segalanya.
Sekiranya langit cerah dan berwarna merah di waktu malam, itu menandakan seorang raja sedang nazak atau sudah menemui ajalnya.
ADA banyak kepercayaan masyarakat Melayu yang berhubungan dengan tanda-tanda alam.
No comments:
Post a Comment