KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

30 September 2013

Resepi - Cara Membuat Mandai

Assalamualaikum... Jangan pelik pula. Anda tidak tersalah masuk blog. Hari ini saya nak buat satu entri yang luar dari kebiasaan. Nak letak tag apa pun saya tak tahu...hehe. Semua orang kenal buah cempedak kan. Hari ini saya nak mengajar anda satu resepi makanan dan masakan yang mungkin jarang-jarang atau belum pernah anda jumpa. Ianya di buat dari buah cempedak.. Satu makanan istimewa bagi suku kaum Banjar.

Sesiapa orang banjar mesti dah tahu apa itu Mandai. Bagi yang belum tahu dan kenal, hari ini anda bertuah kerana Chef BM akan mengajar anda cara untuk membuat mandai dan cara memasaknya. Hahaha...pertama kali buat entri resepi... lain macam rasanya. Masa tulis entri ni pun dah terasa macam Chef Wan!

Cara-cara Membuat Mandai


1. Pilih buah cempedak yang sudah masak. Yang muda jangan pula pandai2 nak di petik ya! Sungguh harum semerbak bau cempedak ni kalau dah masak.
resepi dan cara membuat mandai

2. Belah buah cempedak tersebut. Ini tak perlu nak ajar kot. Semua orang pun tahu buat. Buang empulur tengahnya tu barulah mudah kerja.
resepi dan cara membuat mandairesepi dan cara membuat mandai
3. Apa lagi...jangan asyik terleka sangat dengan bau cempedak tu... Keluarkanlah isi cempedak tu! Buat sampai habis licin kesemua isi cempedak tersebut.
resepi dan cara membuat mandai
4. Masukkan isi cempedak tersebut kedalam pinggan dan bolehlah makan. Kalau tak suka makan begitu sahaja, bolehlah di goreng. Ha! dah selesai pun...Mudah kan? Hehehe
resepi dan cara membuat mandai
Hah! Nak kemana tu? Belum siap lagi de! Untuk membuat mandai ni bukan guna isi cempedak, tapi kulit cempedak... Apa!! Jangan ada yang terkejut pulak... Apalah orang banjar ni, kulit cempedak pun di makan. Hah! Jangan nak kutuk-kutuk! Aku pun banjar juga! Orang banjar ni tidak suka membazir sebenarnya, (siapa lagi nak puji kan) Korang belum rasa...kalau dah rasa, tak cukup sepinggan! Ok lah, kita teruskan cara-cara membuat mandai ni.
5. Kulit cempedak tadi dibuang kulit luarnya yang menggerutu tu. Jangan terlalu tebal, cukup sekadar hilang kulitnya sahaja. Ikut seperti gambar di bawah...hmm, pandai pun.
resepi dan cara membuat mandairesepi dan cara membuat mandai
resepi dan cara membuat mandai
6. Potong kulit cempedak tadi kepada ketulan-ketulan kecil. Jangan kecil sangat. Lebih kurang 2~3 jari lebarnya. Kemudian sumbat masukkan kedalam balang. Saiz balang janganlah terlalu besar, sebaik-baiknya muat-muat sahaja. Balang kaca atau plastik tidak menjadi masalah. Kalau anda kaya...boleh aje balang tembaga atau bersalut emas...hehe
7. Kemudian tuangkan air masak suam-suam kuku ke dalam balang. Kalau malas...air masak biasa je pun boleh, tak perlu suam-suam kuku. Pastikan keseluruhan kulit cepedak tadi tenggelam. Itulah...aku dah kata, jangan guna balang terlalu besar, kan dah timbul!
8. Masukkan garam kasar. Jumlahnya lebih kurang 4~5 sudu teh untuk balang seperti saiz yang saya gunakan. Kalau lain saiznya, pandai-pandailah. Tiada sukatan tetap...terpulanglah. Nak masin lebih tambahlah lagi. Tidak perlu di kacau nanti garam itu akan melarut dengan sendirinya.
resepi dan cara membuat mandairesepi dan cara membuat mandai
9. Tutup rapat-rapat dan biarkan paling kurang seminggu. Kenalah bersabar. Jangan asik di belek-belek aje nanti malu ia nak jadi mandai, hehe. Sementara itu makanlah isi cempedak tadi sampai habis ya!
resepi dan cara membuat mandairesepi dan cara membuat mandai
Setelah seminggu, bolehlah anda buka tutupnya. Nampak ada benda putih terapung...jangan risau, itu getah cempedak. Keluarkan seketul mandai tersebut dan basuhlah. Kini ianya siap untuk di masak.
Apa! Belum boleh makan lagi... Ehh, boleh aje kalau nak makan begitu sahaja. Tapi saya lebih gemar kalau ianya di goreng. Cara nak menggorengnya pun tidak susah. Panaskan minyak dan masukkanlah. Nampak ianya sudah kekuningan...angkat dan makanlah.
Ini pula resepi saya untuk menggoreng mandai agar lebih kaw! sikit rasanya.

Mandai Goreng BM

Bahan-bahannya :
Seketul mandai di potong-potong kecil.
Beberapa biji cili padi (nak di hiris pun boleh)
Sebiji bawang merah di hiris.

resepi dan cara membuat mandai

resepi dan cara membuat mandai
Cara-cara menggoreng :
1. Panaskan minyak di kuali (kuali ajaib Mizz Aiza paling bagus)
2. Masukkan mandai.
3. Agak-agak suku masak, masukkan bawang dan cili padi dan goreng sehingga warna kekuningan emas terserlah. Kalau suka garing dan kering, biarlah lama sedikit barulah diangkat.
Nah! sudah siap... Makan bersama nasi putih panas, pasti sesiapa pun lalu di depan apatah lagi belakang tak perasan dah! Tapi jangan lupa...Baca bismillah dan doa sebelum makan ye...kalau tidak nanti JIN saya tumpang makan...hahaha

resepi dan cara membuat mandai

Inilah makanan tradisi kaum banjar. Anda boleh cuba buat dan rasainya sendiri. Rasanya unik berperisa masam-masam masin, sungguh menyelerakan! Baunya pula...sampai rumah jiran sebelah boleh cium! Selamat mencuba!
kredit utk relakssminda.blogspot.com

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya?


Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketika mana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya. Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya” Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?” Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.



 Sumber: http://nazrulnasir.blogspot.com/2011/01/mengapa-tidak-terus-minum-daripada.html
Awas! Wanita Sebegini Wajib Dijauhi gambar hiasan 6 Jenis Perempuan Yang Wajib Dijauhi Lelaki digalakkan untuk mencari isteri solehah. Jauhi jenis perempuan-perempuan di bawah untuk dijadikan isteri nescaya kamu akan bahagia : 1. Al-Anaanah : Banyak keluh kesah. Yang selalu merasa tak cukup, apa yang diberi semua tak cukup. Diberi rumah tak cukup, diberi motor tak cukup, diberi kereta tak cukup. Tak redha dengan pemberian yang diberi suami. Asyik ingin memenuhi kehendak nafsu dia saja, tanpa menghiraukan perasaan suami, tak hormat kepada suami apalagi berterima kasih pada suami. Bukannya hendak menolong suami, apa yang suami beri pun tak pernah puas. Ada saja yang tak cukup. 2. Al-Manaanah : Suka mengungkit. Kalau suami melakukan perkara yang dia tak berkenan maka diungkitlah segala hal tentang suaminya itu. Sangat mudah hendak membicarakan perihal suami. Tak mengenang budi, tak bertanggungjawab, tak sayang dan macam-macam. Walaupun suaminya sudah memberi perlindungan macam-macam padanya. 3. Al-Hunaanah : Ingin pada suami yang lain atau berkenan kepada lelaki yang lain. Sangat suka membanding-bandingkan suaminya dengan suami/lelaki lain. Tak redha dengan suami yang ada. 4. Al-Hudaaqah : Suka memaksa. Bila hendak sesuatu maka dipaksa suaminya melakukannya. Pagi, petang malam asyik menekan dan memaksa suami. Adakalanya dengan berbagai ancaman. Ingin lari, ingin bunuh diri, ingin membuat malu suami. Suami dibuat seperti orang suruhannya, bukan sebagai pemimpinnya. Yang dipentingkan adalah kehendak dan kepentingan dia saja. 5. Al-Hulaaqah : Sibuk bersolek atau tidur atau santai-santai hingga lalai dengan ibadah-ibadah asas, seperti solat berjemaah, wirid zikir, mengurus rumah-tangga, berkasih sayang dengan anak-anak. 6. As-Salaaqah : Banyak berbicara, bergosip. Siang malam, pagi petang asik bergosip. Apa saja yang suami kerjakan selalu tidak benar dimatanya. Zaman sekarang ni bergosip bukan saja berbicara di depan suami, tapi dengan telefon, SMS, internet, dan macam-macam cara yang lain . Yang jelas isteri tu asyik menyusahkan suami dengan kata-katanya yang menyakitkan.