KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

13 August 2009

PERGINYA SEORANG PAHLAWAN NASYID



Bukan senang berdakwah menyampaikan mesej Islam melalui seni nyanyian nasyid. Di dalam keadaan industri nasyid tanah air yang turun naik gelombangnya, namun beliau bersama Rabbani tetap istiqamah memeperjuangkan Islam melalui nasyid.

Insan yang dilahirkan ke dunia yang fana ini pada 3 Ogos 1969 telah mengadap Illahi pada 13 Ogos 2009. Perjuangan beliau dalam bidang nasyid seingat saya bukanlah bermula bersama kumpulan Rabbani. Sebelum itu beliau bersama-sama rakan seperjuangan telah menubuhkan kumpulan Nada Murni. Kelunakan suara beliau mengalunkan nasyid Nada Murni, telah menambat hati kepada sesiap yang mendengarnya. Pada waktu itu, yang bernaung di bawah Nada Murni adalah otai-otai penasyid kini yang mencipta atas nama yang lain.

Siapa tidak kenal Nazrey Johani, Ustaz Amal, Munif, Allayarham Zairie, Isman dan lain lagi. Kesemua mereka ini memulakan tapak dalam bidang nasyid melalui kumpulan Nada Murni. Boleh dikatakan Nada Murni merupakan kumpulan induk kepada kumpulan nasyid popular sekarang. Setelah Nada Murni bubar (?), maka masing-masing membawa haluan nasyid seperti Munif dan Isman menubuhkan Hijjaz, Nazrey Johani bersama rakan-rakannya menubuhkan Raihan, dan beliau sendiri telah menubuhkan Rabbani.

Menurut Che Amran Ibrahim, anggota Raihan menyifatkan beliau seorang 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti. Che Amran juga berpendapat beliau yang bersuara emas ini meruoakan ikon kepada kumulan nasyid sekarang.

Isman dari Kumpulan Hijaz pula menyifatkan beliau sbagai ulama nasyid kerana kebanyakan kumpulan nasyid negara ini banyak merujuk beliau dalam hal nasyid dan muzik dalam Islam.

Selama 12 tahun beliau berjuang bersama Rabbani menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat, maka sudah pastilah banyak kejayaan yang telah dicapai oleh beliau dan Rabbani. Tidak hairanlah jika beliau dikatakan tunjang kepada kumpulan Rabbani.

Siapa tidak kenal dengan lagu 'Pergi Tak Kembali' berentak fast tetapi bermesej dakwah yang amat jelas di mana dengan beraninya memperkenalkan rentak moden untuk diadunkan dengan lirik nasyid yang memberikan keinsafan kepada sesiapa yang mendengarnya.

Marilah kita bersama renungi apa yang ditulis oleh beliau di dalam blog http://asrirabbani.blogspot.com/ :

"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yan lebih luas. Ke mana pun dan sampai bila-bilapun syurgaku bersama-samaku....."

Sebenarnya masih banyak perkara lagi boleh diperkatakan kepada insan pejuang seni nasyid ini. Walau apapun, semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada USTAZ MOHAMAD ASRI IBRAHIM yang telah meninggalkan kita. Al fatihah...

No comments: