Inilah jadinya apabila manusia tidak bertuhankan Allah...
![]()  | 
| SHREE MAA ANANTANAND bersama sebahagian daripada ubat-ubatan yang diperbuat daripada air kencing lembu untuk merawat pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang dan kanser di Ahmedabad. | 
“TUHAN  berada di dalam najis lembu,” kata Kesari Gumat semasa dia berjalan  melintasi makmal yang dipenuhi para penyelidik yang sibuk.
Ada  yang tekun mencampurkan bahan buangan haiwan itu bersama herba tertentu  sementara beberapa orang lain mengawasi air kencing lembu yang sedang  menggelegak di dalam sebuah bikar.
Makmal  yang terletak bandar Ahmedabad di barat India itu merupakan salah satu  pusat penyelidikan yang mengangkat status suci lembu dan membawa hasil  kajian mereka ke satu tahap baru.
Dalam  usaha mempromosi aspek praktikal seiring dengan keyakinan spiritual,  mereka telah mengembangkan perubatan berasaskan najis dan air kencing  haiwan itu. Ini sekali gus menjadikannya satu rangkaian produk yang  dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit daripada masalah mulut  berbau hinggalah kanser.
“Formula  ini bukannya sesuatu yang baru,” kata Gumat. “Ia terkandung dalam kitab  suci Hindu. Kami hanya mengembangkannya melalui kajian saintifik.”
Bahan mentahnya dihasilkan daripada bahan buangan lebih 300 ekor lembu di sekitar kawasan pusat berkenaan.
Pengunjung  dikehendaki membuka kasut dan stokin sebelum masuk dan memberanikan  diri berjalan berkaki ayam melintasi hamparan najis separa lembut yang  mula mengering akibat pancaran matahari.
“Berjalan  di atas najis lembu yang masih baru amat menyihatkan,” tegas Gumat. “Ia  mampu membunuh kuman dan bakteria serta menyembuhkan luka. Najis lembu  juga merupakan skrab untuk membuang sel-sel kulit mati dan meningkatkan  sistem peredaran darah.”
Senarai  turutan aplikasinya mengikut Gumat, mempunyai satu senarai yang agak  panjang. Ia meliputi ubat-ubatan sehinggalah kelengkapan dandanan diri  seperti sabun, syampu, ubat gigi, kayu setanggi dan ubat nyamuk.
Produk-produk  itu menerima pujian dalam kalangan kumpulan-kumpulan nasionalis Hindu.  Ini termasuklah kumpulan terbesar seperti Rashtriya Swayamsevak Sangh  (RSS) yang melancarkan minuman ringan sendiri berasaskan urin lembu  sebagai alternatif kepada Coca-Cola dan Pepsi.
Gau  Jal atau air kencing lembu telah dihasilkan di Jabatan Perlindungan  Lembu RSS, sebuah kemudahan penyelidikan yang terletak di utara bandar  Haridwar, bersebelahan sungai suci Gangga.
“Ia akan mengakhiri penguasaan minuman bikarbonat di pasaran,” ramal Pengarah Kemudahan Pasaran, Om Prakash.
Proses  pengeluaran Gou Jal masih menunggu kelulusan daripada kerajaan.  Sementara itu Prakash memberitahu, pasukannya kini menumpukan proses  pembungkusan, pemasaran dan pengawetan untuk mengelakkan minuman itu  rosak akibat musim panas di India.
Lembu  dianggap sebagai haiwan suci oleh majoriti penganut agama Hindu.  Sehubungan itu mereka dihalang daripada makan dagingnya, namun  penggunaan bahan buangan haiwan itu dibenarkan seperti produk tenusu.
Lazimnya,  najis lembu dibiarkan kering dalam masa lebih seminggu, sebelum ia  dibakar pada suhu yang tinggi untuk membunuh kuman dan bakteria. Produk  akhir najis itu dijadikan serbuk sebelum ia diadun bersama bahan-bahan  lain untuk membuat ubat-ubatan dan kelengkapan dandanan diri.
Sementara itu, urin haiwan tersebut akan didihkan untuk membuang segala kotoran.
Raghav  Gandhi, yang mengetuai Jabatan Nutrisi Lembu di salah sebuah pusat  penyelidikan di Ahmedabad menegaskan, proses tersebut bermula lebih awal  sebelum sisa-sisa itu dikumpulkan.
“Ia  mungkin kelihatan seperti kita mengambil sisa kumuhan haiwan ini untuk  membuat ubat-ubatan tetapi proses berkenaan tidak semudah yang  disangka,” kata Ghandi.
“Kita  perlu melayan lembu itu pada setiap minit,” kata Ghandi yang memberi  lembu-lembunya makan rumput yang dicelupkan ke dalam susu, herba dengan  gula tebu yang tidak ditapis dan air yang mengandungi garam galian.
Dia juga menyanyikan lagu kepada haiwan-haiwan itu.
“Ia  amat mudah,” kata Ghandi. “Apa yang dimakan itulah yang dikeluarkan.  Najis lembu mengandungi pelbagai nutrien dan mineral penting. Air  kencingnya pula mempunyai ciri-ciri penyahjangkit penyakit.”
Pakar-pakar  perubatan pula berbelah bagi mengenai kebaikan dalam bidang perubatan.  Ada antaranya yang menunjukkan bahawa perawatan kuratif itu belum pernah  pernah disahkan oleh mana-mana badan bebas.
Bagaimanapun,  ada kalangan mereka yang melihat perawatan sedemikian tidak  memudaratkan pesakit dan menganggap produk-produk itu mampu membantu  mereka.
“Saya  pernah terbaca mengenai kelebihan air kencing dan najis lembu,” kata  Mayur Patel, seorang pakar kanser di Pusat Penyelidikan Kanser Negeri  Gujerat.
“Seorang  pesakit saya mengambilnya dan saya membenarkan mereka melakukannya. Ia  hanya merupakan satu kaedah alternatif dan tidak mempunyai kesan  sampingan,” kata Patel.
Seorang  suri rumah di Ahmedabad, Nila Parmar, 42, memulakan harinya dengan  mengambil suntikan air kencing lembu sejak bertahun-tahun lamanya.  Wanita itu mengakui tidak mempunyai sebarang keraguan tentang  keberkesanannnya.
“Percayalah,  saya pernah mencuba kaedah perawatan alopati dan homeopati untuk  mengubati penyakit yang dialami namun ia tidak berkesan,” ujarnya.
“Saya  sering bertukar-tukar doktor selama lebih dua tahun tetapi hanya gau  mutra (air kencing) yang berjaya menyembuhkan penyakit saya,” katanya.





No comments:
Post a Comment