Adapun  tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan  dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita  kepada tanda-tanda ini.
Rasulallah  SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada  keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi  sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Imam  Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini  sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi  sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala  persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika  sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya  iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau  wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun  riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT  tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan  adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan  bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua  tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala  orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini  akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran  mereka kepada Allah SWT.
Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :
Tanda 100 hari sebelum hari mati.
Ini  adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan  disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua  orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak  sahaja.
Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh  tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami  getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang  baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan  mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.
Tanda  ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa  mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang  setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.
Bagi  mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan  kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu  sahaja tanpa sebarang munafaat.
Bagi  yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik  untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan  dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.
Tanda 40 hari sebelum hari mati
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar.
Bahagian  pusat kita akan berdenyut-denyut.Pada ketika ini daun yang tertulis  nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah  SWT.Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat  persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita  sepanjang masa.
Akan  terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan  jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan  bingung seketika.Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi  kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang  akan dicabutnya.
Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji
dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.
Tanda 3 hari
Pada  ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu  diantara dahi kanan dan kiri.Jika tanda ini dapat dikesan maka  berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak  najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita  nanti.
Ketika  ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang  sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika  kita melihatnya dari bahagian sisi.
Telinganya  akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke  dalam.Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan  dan sukar ditegakkan.
Tanda 1 hari
Akan  berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di  sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita  tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda akhir
Akan  berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di  bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik  ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah  syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk  menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan  sekarang akan mematikan pula.
PENUTUP
Sesungguhnya  marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di  antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi  kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat  membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari  Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan  hutang piutang kita.Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang  maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa  tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa  iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun  ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.
Oleh  itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi  hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan  tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan  Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
WALLAHUA`LAM
RINGKASAN
100 hari : Seluruh badan rasa bergegar.
60 hari : Pusat rasa bergerak-gerak.
40  hari : Daun dengan nama orang yang akan mati di arash akan jatuh dan  malaikat maut pun datang kepada orang dengan nama tersebut lalu akan  mendampinginya sehingga saat kematiannya. Kadang-kadang orang yang akan  mati itu akan merasa atau nampak kehadiran malaikat maut
tersebut dan akan sering kelihatan seperti sedang rungsing.
7 hari : Mengidam makanan.
5 hari : Anak lidah bergerak-gerak.
3 hari : Bahagian tengah di dahi bergerak-gerak.
2 hari : Seluruh dahi rasa bergerak-gerak.
1 hari : Terasa bahagian ubun bergerak-gerak di antara waktu subuh dan asar.
Saat  akhir : Terasa sejuk dari bahagian pusat hingga ke tulang solbi (di  bahagian belakang badan) Seelok-eloknya bila sudah merasa tanda yang  akhir sekali, mengucap dalam keadaan qiam dan jangan lagi  bercakap-cakap.




No comments:
Post a Comment