
 Badar al-Kubra dan wanita – Bahagian I 9 September 2009
 Ghazwah Badar al-Kubra adalah satu daripada peristiwa paling penting  dalam sejarah Islam. Tentera Islam yang berjumlah 313 orang dianugerahi  kemenangan besar, mengalahkan pihak lawan yang berjumlah lebih daripada  1000 orang.
 Pertempuran hebat ini berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah berbetulan Ramadan pertama disyariatkan puasa.
 Kitab-kitab sejarah tidak mencatatkan keterlibatan wanita secara  langsung dalam peperangan ini. Ahli pasukan yang berangkat bersama  Rasulullah s.a.w. dari Madinah pada 8 atau 12 Ramadan tahun ke-2 hijrah  semuanya lelaki. Mereka tidak membawa kelengkapan yang secukupkan untuk  berperang. Yang ada bersama mereka hanyalah dua ekor kuda kepunyaan  Zubayr bin al-‘Awwam dan Miqdad bin al-Aswad, 70 ekor unta yang setiap  satunya dikongsi tunggang oleh dua atau tiga orang secara bergilir.  Rasulullah s.a.w. berkongsi menaiki seekor unta secara bergilir-gilir  dengan Ali bin Abi Talib dan Mirthad bin Abi Mirthad.
 Meskipun tidak ada wanita yang terlibat secara langsung dalam  pertempuran yang bersejarah ini, namun terdapat beberapa nama wanita  yang terkait dengan peristiwa besar ini yang dapat diambil pengajaran  mengenai kedudukan wanita dalam ajaran Islam. Antara nama-nama yang  tercatat mempunyai kaitan dengan Ghazwah Badar al-Kubra ialah:
 i. Atikah binti Abdul Muttalib
 Tiga hari sebelum kedatangan Dhamdham bin ‘Amru al-Ghifari yang  diutus oleh Abu Sufyan untuk memberi amaran kepada puak Quraisy tentang  keberangkatan Muhammad s.a.w. untuk menyekat kafilahnya dan mendapatkan  bantuan, Atikah binti Abdul Muttalib telah mengalami satu mimpi yang  amat mengerikan; seorang penunggang unta memasuki Makkah sambil  melaungkan suara meminta supaya mereka bersiap sedia menghadapi  peperangan yang akan berlaku dalam masa tiga hari lagi. Penunggang unta  itu memasuki Masjid al-Haram, memanjat Kaabah dan kemudian naik ke atas  puncak bukit Abi Qubays. Kemudian di puncak bukit Abi Qubays itu dia  mengambil seketul batu lalu dicampakkan ke bawah. Apabila mencecah kaki  bukit, batu itu berkecai. Serpihan batu itu memasuki setiap rumah dan  kediaman di dalam kota Makkah. Tidak ada sebuah rumah pun yang  terkecuali.
 Atikah menceritakan mimpi ngerinya itu kepada saudaranya al-‘Abbas  bin Abdul Muttalib. Al-‘Abbas yakin bahawa ia merupakan satu mimpi yang  benar. Dia meminta supaya Atikah merahsiakan mimpi itu dan jangan  menceritakannya kepada sesiapa pun.
 Di luar, al-‘Abbas bertemu dengan sahabat karibnya al-Walid bin  ’Utbah. Dia menceritakan mimpi Atikah kepada al-Walid dan meminta supaya  al-Walid merahsiakannya. Al-Walid pula menceritakannya kepada ayahnya,  ’Utbah. Maka tersebarlah berita itu ke seluruh pelosok bumi Makkah.  Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Abu Jahal, dengan sombongnya  dia menolak mimpi itu sambil berkata kepada al-’Abbas: ”Wahai Bani Abdul  Muttalib! Adakah tidak cukup lagi lelaki kamu mendakwa menjadi nabi  sehingga wanita pula yang mendakwa menjadi nabi? Kita akan lihat selepas  tiga hari. Sekiranya benar apa yang kamu dakwa maka ia akan berlaku.  Sekiranya tidak, kami akan rekodkan suatu catatan bahawa keluarga kamu  adalah keluarga yang paling pendusta!”
 Pengajarannya: Wanita sering dituduh sebagai golongan yang tidak  pandai menyimpan rahsia. Namun tidak semua rahsia dibocorkan oleh  wanita. Dan bukan lelaki sahaja yang berhak mendapat maklumat awal  mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat dan  negara.
 ii. Zainab binti Muhammad s.a.w.
 Antara tawanan perang Badar yang dibawa pulang ke Madinah ialah Abu  al-’As bin ar-Rabi’ menantu Rasulullah s.a.w., iaitu suami kepada puteri  baginda Zainab binti Muhammad s.a.w. dan anak saudara kepada Khadijah  binti Khuwailid r.a.
 Abu al-’As yang ditawan oleh Kharrasy bin as-Simah adalah seorang  yang terbilang dari segi kedudukan, harta, perniagaan serta terkenal  sebagai seorang yang amanah. Dia telah berkahwin dengan Zainab sebelum  Nabi diangkat menjadi Rasul atas cadangan Khadijah r.a. dan dipersetujui  oleh baginda s.a.w. Setelah baginda diangkat menjadi Rasul, Khadijah  dan semua puterinya termasuk Zainab telah beriman kepada apa yang  disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada Tuhannya. Namun Abu al-’As  kekal dalam agama asalnya.
 Abu al-’As mendapat tekanan daripada kaum Quraisy yang memusuhi  Rasulullah s.a.w. kerana dakwahnya. Mereka mendesak Abu al-’As supaya  menceraikan Zainab dan menawarkan mana-mana perempuan Quraisy sebagai  ganti. Namun Abu al-’As enggan berbuat demikian. Baginya tiada siapa  yang boleh menggantikan tempat Zainab di hatinya.
 Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Zainab tinggal di  Makkah bersama Abu al-’As. Mereka tidak dipisahkan meskipun berlainan  agama. Hukum Islam belum diturunkan sepenuhnya ketika itu.
 Rasulullah s.a.w. membebaskan tawanan-tawanan Badar dengan mengambil  tebusan. Zainab mengirimkan kalung yang dihadiahkan bondanya Khadijah  r.a. pada hari perkahwinannya untuk menebus suaminya Abu al-’As. Melihat  kalung tersebut, hati baginda s.a.w. sangat tersentuh. Rasulullah  s.a.w. meminta izin daripada para sahabat r.a. untuk membebaskan Abu  al-’As dan memulangkan kembali kalung itu kepada Zainab. Mereka semua  bersetuju. Maka Rasulullah s.a.w. membebaskan Abu al-’As dengan syarat  dia mengizinkan Zainab berijrah ke Madinah di sisi ayahandanya.
 Badar al-Kubra dan wanita – Bahagian II 28 September 2009
 Abu al-’As bersetuju dengan syarat Rasulullah s.a.w. Beliau berangkat  pulang ke Makkah. Setelah tiba, dia menyuruh Zainab yang ketika itu  sedang hamil bersiap sedia untuk berhijrah. Rasulullah s.a.w. mengutus  Zaid bin Harithah dan seorang lelaki daripada kalangan al-Ansar supaya  menunggu Zainab di Batn Ya’jaj, kemudian mengiringinya hingga ke  Madinah.
 Ketika sedang membuat persiapan untuk berhijrah, Zainab dikunjungi  oleh Hindun binti ’Utbah. Dia bertanya sama ada benar atau tidak Zainab  hendak berhijrah. Zainab menafikannya. Namun Hindun tidak percaya,  sebaliknya menawarkan pertolongan kepada Zainab sama ada wang atau  barang-barang keperluan. Pertolongan yang ditawarkan memang diperlukan  oleh Zainab, namun dia menolaknya kerana tidak yakin akan keikhlasan  wanita itu. Setelah selesai bersiap, iparnya Kinanah bin al-Rabi’ datang  membawa seekor unta untuk dinaiki oleh Zainab. Dengan bersenjatakan  panah, Kinanah mengheret unta yang ditunggangi Zainab membawanya keluar  dari Makkah pada waktu siang.
 Apabila pihak Quraisy mengetahui keberangkatan Zainab dan iparnya,  mereka berasa tercabar dan mengejar untuk menghalangnya. Orang yang  pertama bertemu dengan Zainab ialah Hubar bin al-Aswad di Dzi Tuwa  kemudian diikuti yang lain. Sedar akan dirinya dikejar musuh, Zainab  yang berada di dalam sekedup di atas belakang unta terperanjat dan  ketakutan sehingga gugur kandungannya. Kinanah melutut di hadapan unta  dan menaburkan anak panahnya seraya berkata: ”Demi Allah! Siapa saja  antara kalian yang rapat, aku hadiahkannya sebatang panah ini!”
 Semua mereka tidak berani berbuat apa-apa sehingga datang Abu Sufyan  bersama beberapa orang pembesar Quraisy. Abu Sufyan berkata: ”Wahai  jejaka, simpan dulu panahmu! Mari kita berbincang!”
 Kinanah meletakkan panahnya. Abu Sufyan menapak dan berhenti di  hadapannya lantas berkata: ”Sesungguhnya tindakan kamu ini tidak tepat.  Kamu membawa keluar seorang wanita secara terang-terang disaksikan oleh  semua orang. Kamu tahu kekalahan dan kecelakaan yang menimpa kami serta  apa yang dilakukan oleh Muhammad ke atas kami. Sekiranya kamu bertindak  membawa anak perempuannya keluar secara terang-terangan sebegini,  ditontoni semua manusia pasti mereka akan menyangka bahawa perkara ini  disebabkan ketewasan yang menimpa kami dan ketidak upayaan kami  menghalang kamu. Demi umurku, sesungguhnya kami tidak berhajat untuk  menghalang wanita ini mendapatkan ayahnya. Bukan untuk itu kami  berjuang. Tetapi aku meminta kamu bawalah wanita ini pulang. Apabila  suara-suara telah reda, dan orang ramai tahu bahawa kami telah berjaya  membawanya pulang, bawalah dia pergi menemui ayahnya secara  bersembunyi.”
 Kinanah menerima cadangan Abu Sufyan. Beberapa hari kemudian, apabila  keadaan telah reda dia membawa Zainab keluar pada waktu malam dan  menyerahkannya kepada Zaid yang sedang menunggu di Batn Ya’jaj untuk  dihantar ke rumah ayahandanya, Rasulullah s.a.w. Tinggallah Zainab  bersama ayahandanya di Madinah, manakala suaminya Abu al-’As menetap di  Makkah.
 Saat hampir tiba Fathu Makkah, Abu al-’As keluar berniaga di Syam  dengan membawa modal dan barang-barangnya sendiri dan modal serta barang  yang diamanahkan kepadanya oleh kaum Quraisy. Dalam perjalanan pulang,  dia bertembung dengan pasukan tentera Islam. Semua harta dan barang  dagangannya tertawan tetapi dia sendiri terlepas. Abu al-’As menyusup  masuk ke Madinah waktu tengah malam untuk mendapatkan kembali hartanya.  Dia meminta Zainab melindunginya dan Zainab membenarkan dia bermalam di  rumahnya.
 Menjelang waktu Subuh, Rasulullah s.a.w. keluar untuk bersolat di  masjid bersama kaum muslimin. Ketika Rasulullah s.a.w. sedang solat  bersama para jamaah, mungkin atas rasa bersalah melindungi seorang  musyrik atau tidak mahu Rasulullah s.a.w. dituduh bersubahat, Zainab  melaungkan suara dari saf wanita: ”Wahai sekalian manusia, sesungguhnya  aku memberi perlindungan kepada Abu al-’As!”
 Selesai solat, Rasulullah s.a.w. bertanya para jamaah, adakah mereka  mendengar apa yang didengarnya? Mereka juga mendengar apa yang baginda  dengar. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): ”Demi Tuhan yang jiwaku  di tangan-Nya, sesungguhnya aku tidak mengetahui apa-apa sehinggalah aku  mendengar suara yang kamu dengar sebentar tadi…” Kemudian baginda  bergegas menemui Zainab. Baginda berkata kepadanya: ”Wahai puteriku,  muliakanlah tempat tinggalnya tapi jangan biarkan dia mendekatimu.  Sesungguhnya dia sekarang tidak halal bagimu.”
 Rasulullah s.a.w. memanggil pasukan tentera yang menawan harta Abu  al-’As. Baginda berkata kepada mereka (maksudnya): ”Sesungguhnya lelaki  ini adalah keluarga kami seperti yang kamu tahu. Kamu telah menawan  hartanya. Sekiranya kamu bermurah hati memulangkan hartanya, itulah yang  kami sukai. Sekiranya kamu enggan, maka itu adalah pemberian Allah  kepada kamu dan kamu lebih berhak ke atasnya.”
 Semua mereka bersetuju memulangkan semua harta dan barang Abu al-’As.  Abu al-’As membawa pulang ke Makkah semua harta itu dan memulangkan  kepada mereka yang telah mengamanahkannya. Dia bertanya kepada kaum  Quraisy adakah masih ada lagi harta mereka yang belum dipulangkan?  Mereka menjawab, ”Tidak ada” sambil mengucapkan terima kasih atas  kejujuran dan kesetiaannya. Lalu beliau mengisytiharkan: Sesungguhnya  aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah  hamba-Nya dan Rasul-Nya. Demi Allah tiada yang menghalang aku untuk  memeluk Islam ketika berada di sisinya di Madinah melainkan aku takut  kamu menuduh aku hendak makan harta kamu. Apabila Allah telah  mengembalikannya kepada kamu dan aku telah menyelesaikan  tanggungjawabku, aku memilih untuk memeluk Islam.
 Abu al-’As terus berangkat meninggalkan Makkah menuju ke Madinah.  Maka Rasulullah s.a.w. menyatukannya semula dengan isteri kesayangannya,  Zainab binti Rasulullah s.a.w.
 Pengajaran: Sehebat manapun cinta antara manusia, cinta Allah dan Rasul itulah yang lebih utama.
 Badar Al-Kubra dan wanita – Bahagian III (Akhir) 29 September 2009
 iii. Ruqayyah binti Muhammad s.a.w.
 Ruqayyah adalah puteri kedua selepas Zainab. Ummu Kulthum pula lahir  selepas Ruqayyah. Ketika Ruqayyah dan Ummu Kulthum mendekati usia  perkawinan, Abu Talib meminang mereka berdua untuk kedua-dua putera Abu  Lahab. Ruqayyah berkahwin dengan ‘Utbah, dan Ummu Kulthum berkahwin  dengan ‘Utaibah.
 Tidak lama setelah perkahwinan itu, Rasulullah s.a.w. diangkat  menjadi rasul. Abu Lahab yang sangat memusuhi Islam memerintahkan  kedua-dua anak lelakinya agar menceraikan isteri-isteri mereka. Maka  atas perintah bapa, ’Utbah dan ’Utaibah menceraikan isteri mereka,  Ruqayyah dan Ummu Kulthum tanpa alasan. Setelah diceraikan oleh ’Utbah,  Rasulullah s.a.w. mengahwinkan Ruqayyah dengan Uthman bin Affan r.a.
 Ruqayyah mengikuti rombongan yang berhijrah ke Habasyah (Ethiopia)  yang dipimpin oleh suaminya, Uthman bin Affan membawa 11 orang lelaki  dan empat orang wanita. Kemudian dia berhijrah ke Madinah selepas  Rasulullah s.a.w. berhijrah.
 Ketika Rasulullah s.a.w. bersiap-siap untuk berangkat menyekat  kafilah Abu Sufyan, Ruqayyah jatuh sakit. Rasulullah s.a.w. menyuruh  suaminya, Uthman bin Affan dan Usamah bin Zaid agar tetap tinggal di  Madinah untuk merawatnya. Namun maut telah menjemput Ruqayyah ketika  Rasulullah s.a.w. masih berada di medan Badar.
 Usamah bin Zaid melaporkan: ”Kami menerima berita kemenangan  Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin dalam peperangan Badar ketika sedang  mengebumikan Ruqayyah r.a. Rasulullah s.a.w. mewakilkan aku menjaga  Ruqayyah bersama dengan Uthman bin Affan r.a.”
 Ketika membahagikan hasil rampasan perang Badar (ghanimah),  Rasulullah s.a.w. telah memperuntukkan satu bahagian untuk Uthman.  Semasa diberikan bahagiannya itu, Uthman r.a. bertanya: ”Bagaimana  dengan pahala saya ya Rasulullah?” Baginda menjawab maksudnya: ”Dan  engkau juga mendapat pahala yang sama dengan orang yang pergi  berperang.”
 Pengajaran: Atas alasan apa sekalipun, suami tidak harus mengabaikan kebajikan isteri.
 iv. Ummu al-Fadhl (Lubabah binti Al-Harits)
 Abu Rafi’, maula Rasulullah s.a.w. menceritakan: ”Saya adalah seorang  hamba kepada al-’Abbas r.a. Cahaya Islam telah menerangi rumahnya  ketika mana al-’Abbas memeluk Islam, diikuti Ummu al-Fadhl dan saya.  Walau bagaimanapun, al-’Abbas r.a. menyembunyikan keislamannya.
 Abu Lahab telah tidak ikut serta dalam peperangan Badar. Apabila  mendengar kekalahan kaum musyrikin, kami rasa diri kami mendapat  kekuatan dan kemuliaan. Saya seorang lelaki yang lemah. Pekerjaan saya  membuat gayung di dalam bilik telaga zamzam.
 Ketika saya sedang duduk mengukir gayung, Ummu al-Fadhl duduk  bersebelahan dengan saya. Hati kami melonjak gembira menerima berita  kemenangan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba muncul Abu Lahab mengheret  kakinya dan bertenggek di birai bilik telaga zamzam. Sedang kami duduk,  terdengar riuh rendah suara menyebut nama Abu Sufyan bin al-Harith yang  baru tiba dari medan perang. Abu Lahab memanggil Abu Sufyan agar  menghampirinya seraya berkata: ’Mari ke mari! Demi umurku, pastinya kamu  membawa berita yang menggembirakan!’
 Abu Sufyan duduk di hadapan Abu Lahab dikerumuni orang ramai yang  ingin mendengar perkhabaran yang dibawanya. Dengan termengah-mengah dia  menceritakan: ’Sesungguhnya pertempuran itu benar-benar seperti kita  menyerahkan bahu-bahu kita kepada mereka. Mereka membunuh kita sesuka  hati mereka dan menawan kita semahu-mahunya. Tetapi demi Allah aku tidak  menyalahkan puak kita. Sesungguhnya kita bertembung dengan para  pahlawan yang berpakaian serba putih menunggang kuda yang berbelang  bertebaran antara langit dengan bumi…’
 Mendengar apa yang diceritakan oleh Abu Sufyan, saya tidak dapat  mengawal diri lalu bingkas bangun mengangkat tali bilik telaga zamzam  dan menjerit: ’Demi Allah, itu adalah malaikat!’
 Maka dengan spontan Abu Lahab menumbuk mukaku sekuat tenaganya. Aku  cuba melawan, namun dia lebih pantas menolakku hingga tersungkur ke bumi  dan terus memukulku bertalu-talu.
 Ummu al-Fadhl mencapai sebatang tiang lantas memukul Abu  Lahab menyebabkan kepalanya luka parah. Dia berkata kepada Abu Lahab:  ’Kamu berani menyerang lelaki yang lemah ketika tuannya tiada bersama!’
 Abu Lahab mengundur pergi. Tujuh hari selepas itu lukanya semakin  bernanah dan membusuk sehingga tiada siapa sanggup menghampirinya sampai  dia mati.”
 Pengajaran: Wanita yang selalu dikatakan lemah, tidak bermakna iman dan semangatnya juga lemah.
 v. Ar-Rabi’ binti An-Nadhar r.a.
 Beliau merupakan ibu saudara kepada Anas r.a. Puteranya, Harithah bin  Suraqah adalah orang yang pertama syahid daripada kalangan tentera  muslimin dalam peperangan Badar al-Kubra. Ar-Rabi’ datang menemui  Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ”Ya Rasulullah, anda tentu mengetahui  bagaimana kedudukan Harithah dalam diri saya. Sekiranya tempatnya di  syurga, maka saya akan bersabar dan memohon ganjaran pahala daripada  Allah. Sekiranya tempatnya lain daripada syurga, maka anda akan saksikan  apa tindakan saya!”. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ”Adakah  syurga itu hanya satu sahaja? Sesungguhnya syurga itu bukan satu, dan  sesungguhnya anakmu berada di dalam syurga Firdaus!”
 Pengajaran: Ibu sentiasa inginkan kebaikan untuk anaknya. Dan tidak  ada pemberian yang lebih berharga daripada syurga, sehingga si ibu  sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak supaya pergi berjihad  fisabilillah.
 Karya Ustazah Maznah Daud dari laman web www.malaysiaharmoni.com
 Kisah wanita disebalik Perang Badar ini bukanlah wanita sebarangan  tapi kadang-kadang kita tidak pernah kenal namanya seperti Atikah, ibu  saudara Rasulullah saw dari sebelah bapa. Saya sekadar menambah ilmu  dunia yang cetek dengan mengenali wanita mulia dalam sejarah agama saya  sendiri.