KALAU LAWATI TOLONG SIGN GUEST BOOK YE

29 September 2009

MEMORI INDAH DI BHG. PENYELIDIKAN JAIPk


Hari ini adalah hari terakhir aku bertugas di Bhg. Penyelidikan JAIPk. Maka secara rasminya berakhirlah sudah tugas aku mengadakan pemeriksaan di premis-premis yang memohon sijil Halal. Ikhlas aku katakan bahawa aku seronok bertugas di Bahagian ni. Banyak pengalaman yang aku dapat sepanjang 4 bulan bertugas di sini.

Pengajaran yang paling bermakna ialah berkaitan dengan produk atau makanan Halal. Sebelum ini aku tidak begitu teliti untuk membeli barangan dapur atau produk makanan di super market atau di premis-premis yang lain. aku tidak kisah samada barangan tersebut ada logo halal atau pun tidak. Aku yakin bahawa ramai lagi masyarakat islam di luar sana pun tidak kisah tentang logo halal ni.

Kita ummat Islam khususnya perlu prihatin tentang logo Halal ni, kerana apa yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Adakah kita mahu darah daging kita dan anak isteri kita tumbuh dari hasil makanan yang haram? Darah dan daging yang tumbuh dari hasil makanan yang haram maka api nerakalah yang layak untuk membakarnya. Sebab itulah Islam menyarankan supaya penganutnya makan makanan yang halal, bersih lagi suci. Itulah keindahan Islam yang mengatur kehidupan kita sejak kita lahir hinggalah kita meninggal dunia, semuanya diatur secara baik dan sistematik. Berbahagialah bagi mereka yang menganutnya dan beramal dengan segala suruhannya dan Celakalah! bagi mereka yang memusuhinya.

Esok pagi aku akan lapor diri di Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan. Bermulalah tugas dan pengalaman baru bagiku. Aku diamanahkan untuk menjalankan tugas Imam Besar. Satu tugas yang aku rasakan sangat berat untuk aku laksanakan kerana aku perlu menjadi role model kepada imam-imam yang lain. Walaupun aku pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Muhibbuddin Shah, bersebelahan dengan Hospital Tuanku Bainun, tetapi untuk menjadi ketua Imam, aku merasakan bahawa aku terlalu kerdil. Pernah aku mohon pada Tuan Guru aku yaitu Dato` Pengarah JAIPk untuk menarik diri, tetapi beliau menasihatkan supaya aku pergi terlebih dahulu untuk menjalankan tugas tersebut.

Aku tidak bimbang dengan kritikan atau surat layang yang mungkin akan dikeluarkan nanti oleh individu yang tidak berpuas hati dengan perlantikan ini, tetapi apa yang aku bimbangkan adalah sekiranya aku tidak mampu untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku. Ya, Allah bantulah aku dalam melaksanakan amanah ini, berikanlah kekuatan kepadaku untuk menggalas bebanan ini. ku pohon kepada MU Ya Allah kerana hanya pada MU tempat aku memohon pertolongan.

Pasti ada hikmahnya disebalik semua ini, mungkin Allah mahu aku menjadi manusia yang baik, lalu ditempatkan aku di Masjid Negeri, ataukah Allah telah memakbulkan doa ibuku.. kerana sering kali ibuku berdoa semenjak aku masih di bangku sekolah lagi, agar aku menjadi Imam Besar seperti Tuan Guruku Yg. Bhg. Dato` Syeikh Mohamah Noor bin Mansor Al-Hafiz yang menjadi idolaku. Terima kasih mak atas doa mak dan ayah tu...Walau apapun aku tetap bersyukur kepada Mu Ya Allah atas segala nikmat yang telah kau anugerahkan kepadaku.

YA ALLAH! AMPUNILAH DOSA KEDUA IBU BAPAKU, KASIHANILAH MEREKA SEPERTIMANA MEREKA MENGASIHIKU SEWAKTU AKU MASIH KECIL.

Terima Kasih diucapkan kepada semua warga di Bhg. Pentyelidikan, yang banyak memberi tunjuk ajar kepadaku terutama kepada KPP Us. Jamil, Us. Fakhrul, Us. Hafiz, En. Afzir, Kak Su, Kak Ila, Hj. Azhar, En. Harudin, En. Sham dan semua pelajar praktikal. Kemaafan dipinta andai terkasar bahasa atau terlajak cara sepanjang saya berada di Bhg. Penyelidikan ini. Sesungguhnya saya amat gembira dapat berkenalan dan bekerja dengan anda semua.

`Bermaafanlah kita semua,
Macam lidah dengan gigi,
terkadang tergigit juga,
Dulu kita muda,
sekarang dah semakin tua,
Dulu gurau jadi suka,
sekarang hati mula terasa,
Takde Angpau atau duit raya,
Cuma salam dihulur maaf dipinta.`

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR & BATIN.

KULLU `AM WA ANTUM BIKHAIR`

"SELAMAT TINGGAL BAHAGIAN PENYELIDIKAN"

Terima kasih kepada semua yang mengenali dan memberi sokongan kepada saya. Moga Allah membalas jasa kalian semua. Amiiiin.

No comments: