Teringat aku masa kecik-kecik dulu, pernah berlaku hujan batu kat kampung aku, tapi sekarang jarang dengar tentang fenomena atau kejadian hujan batu ni di Malaysia. Hujan batu ni adalah ketulan ais sebesar jari kelingking yang turun dari langit.
Bila turun hujan batu ni, kami adik beradik akan lari keluar rumah sambil bawa besen atau mangkuk untuk dimasukkan ketulan ais tadi... sambil kutip tu, ada juga yang dimasukkan terus dalam mulut. Maklumlah masa tu bukannya ada peti ais lagi.. So, Kalau nak minum ais pun hanya pada bulan puasa je.. Kedatangan hujan batu ni adalah saat yang dinanti-nantikan, bukan hanya oleh kami malah oleh semua kanak-kanak dan penduduk di kampung aku.
Biasanya bila tiba bulan puasa, pukul 5 petang aku dah disuruh oleh mak pergi ke kedai yang tak berapa jauh dari rumah untuk beli ketul ais. Tokey kedai kena gergaji dulu ketul ais tu yang diselaputi habuk kayu (untuk mengelakkan ais tu cair) dalam kuantiti yang kecil. Biasanya aku beli 20 sen je satu bata. Kalau beli ketul ais ni kena beli dengan air botol sekali buat penghilang dahaga waktu berbuka nanti. Biasanya aku akan beli perisa ros, sedap...!
Kat kampung aku air botol ni dipanggil air minit, mana diorang dapat bahasa ni pun aku tak tau. Zaman tu harganya 30 sen je sebotol, botol kaca warna gelap. Sampai kat rumah , ais ketul tu kena tanam dulu bersama habuk kayu sebab tak nak bagi ais tu cair.
Biasanya kerja ni dibuat oleh aku dan arwah abang aku Mohd Nazri atau lebih dikenali abang Awang (Al-Fatihah disedekahkan untuknya, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman). Kat kawasan rumah aku banyak habuk kayu sebab ayah aku ambil upah tebang pokok dengan mesin gergaji berantai untuk dijadikan papan atau tiang bagi membina rumah.
Dengan gergaji berantai inilah ayah mencari rezeki dengan tulang empat kerat dan titik peluhnya sendiri bagi menyara dan menyekolahkan kami 8 beradik. Terima kasih ayah dan mak kerana menjaga dan membesarkan kami. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mak dan ayah tak dapat kami balas. Hanya doa dan kasih sayang yang mampu kami lafazkan. " Ya Allah, ampunilah dosa kami dan dosa kedua ibu bapa kami, dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kami sewaktu kami masih kecil" itulah doa yang diajarkan kepada kita di dalam Al-Quran.
Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada ayah... Dialah Arkitek dalam membina rumah, dialah jurutera di tapak pembinaan, dialah peladang, dialah penternak, dialah guru silat, dialah tukang urut, dialah tukang sembelih dan sebagainya.
Dah dekat nak masuk waktu berbuka barulah dikorek semula ketul ais tu, basuh dan campurkan dengan air botol perisa ros tadi. Biasanya aku beli sebotol je sebab tak mampu, maklumlah kami orang susah. So, kenalah campur dengan air sikit supaya satu keluarga boleh minum.
Alangkah indah saat itu.. Kalau lah boleh diundurkan masa, ingin sekali lagi aku kembali semula pada saat dan ketika itu, tapi ternyata ianya adalah mustahil.. Semuanya itu adalah kenangan indah yang akan ku kenang hingga ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment