SABIT  adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang baik hati. Apabila  Sabit  mendengar ada seorang sahabat lain yang terpaksa berpuasa setiap  hari  kerana tidak cukup makanan, Sabit berasa simpati. Selepas  mendengar berita mengenai sahabatnya itu, beliau pulang ke  rumah. Di  rumah, beliau memberitahu isterinya dan beliau bercadang mahu  menjamu  makanan kepada sahabat itu semasa waktu berbuka puasa nanti. 
  "Assalamualaikum," ucap Sabit kepada isterinya yang berada di rumah.
  "Waalaikumsalam," jawab isterinya yang pada waktu itu menguli tepung bagi membuat roti.
  "Malam ini kita ada tetamu istimewa," kata Sabit yang baru sahaja sampai di muka pintu rumah.
  "Siapakah orang itu?" tanya isterinya pula.
  "Malam  ini saya membawa seorang tetamu. Tetamu itu saudara kita juga.  Beliau  terpaksa berpuasa pada hari ini kerana tidak cukup makanan,"  jelas  Sabit kepada isterinya.
  "Saya mahu kamu sediakan makanan istimewa bagi tetamu ini berbuka puasa nanti. " kata Sabit kepada isterinya.
  "Saya hendak pesan satu perkara. Semasa tetamu itu makan, kamu padamkan lampu pelita?" kata Sabit lagi.
  "Mengapa? Sekiranya lampu pelita itu terpadam, bagaimanakah tetamu itu mahu menjamah makanannya nanti?" tanya isterinya pula.
  Isterinya  tidak mengetahui rancangan sebenar Sabit mahu berbuat  demikian.  Kemudian, beliau menjelaskan perkara sebenar kepada isterinya.
  "Kamu buat-buat sahaja membaiki lampu pelita itu. Biarkan tetamu kita itu makan sehingga kenyang," kata Sabit kepada isterinya.
  Isterinya kebingungan selepas mendengar penjelasan suaminya. Tangannya mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
  "Satu  lagi pesanan saya, kamu jangan makan makanan yang terhidang itu  nanti.  Sebaliknya kita berpura-pura mengambil makanan dan mengunyah  makanan  itu," pesan Sabit kepada isterinya.
  "Baiklah, saya turuti kata-katamu," jawab isterinya.
  Tibalah masanya berbuka puasa. Sabit sekeluarga menyambut baik kedatangan tetamu itu.
  Sebaik sahaja tetamu itu berbuka puasa dan makan, lampu pelita di rumah Sabit dipadamkan oleh isterinya. 
  "Maafkan  saya. Lampu minyak tanah di rumah kami ini mungkin rosak.  Saya cuba  membaikinya. Silalah makan. Jangan malu-malu. Makanan ini saya  sediakan  bagi kita makan bersama-sama," kata isteri Sabit kepada tetamu  itu.
  Kemudian isterinya berpura-pura membaiki lampu pelita itu.
  "Silakan  makan. Sebentar lagi eloklah lampu pelita itu. Tetapi  sekarang kita  terpaksa makan dalam keadaan gelap ini," kata Sabit kepada  tetamunya  itu. 
  Tetamu itu tersenyum lebar. Tanpa berlengah masa, tetamu itu menikmati makan malam itu dalam keadaan gelap gelita.
  Sabit  dan isterinya tetap duduk menemani tetamu itu makan. Tetamu itu  tidak  mengetahui bahawa Sabit dan isterinya tidak makan langsung dan  hanya  berpura-pura mengambil dan mengunyah makanan itu.
  Pada malam itu, tetamu itu makan makanan yang dihidangkan oleh keluarga Sabit sehingga kenyang. 
  "Terima  kasih wahai Sabit. Saya sudah kenyang pada malam ini. Inilah  hidangan  istimewa yang pernah saya makan selama ini," kata tetamu itu  kepada  Sabit.
  Kemudian tetamu itu pulang ke rumah.
  Pada keesokan hari, Sabit pergi berjumpa Nabi Muhammad yang tersenyum melihat kedatangannya.
  Kemudian Nabi Muhammad berkata kepada Sabit, "Ada berita gembira yang mahu saya sampaikan kepada kamu."
  "Apakah berita gembira itu?" tanya Sabit kepada Nabi Muhammad.
  "Tahukah  kamu bahawa Allah sangat menghargai perbuatan kamu memberi  layanan  baik kepada tetamu yang datang ke rumah kamu semalam," kata Nabi   Muhammad kepada Sabit.
  Begitulah  sifat baik dan pemurah Sabit. Beliau dan isterinya terpaksa  berlapar  kerana mahu tetamu yang datang itu makan sehingga kenyang.  Mereka suami  isteri lebih mengutamakan orang lain walaupun mereka  terpaksa berada  di dalam kesusahan. 
   Petikan daripada buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika
 



No comments:
Post a Comment