
Seorang  ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud  hadis kepada para muridnya.Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis  dan bertanyakan sesuatu yang 
membuatkan semua murid terpinga-pinga.
“Muridku  sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.Adakah sesiapa yang mampu  menunaikan hajatku ini?” Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.
Salah  seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah  wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami,moga kami mampu untuk  menunaikannya untuk Tuan Guru”.
Sang  Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata “ Aku punya sedikit  harta yang ingin aku sedekahkan,adakah sesiapa yang ingin membantuku  mengagihkan harta ini?”
“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk mengagihkan harta ini”jawab Murid tersebut dengan bersemangat.
“Bolehkah Tuan Guru perincikan kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?”seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.
“Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian”Jawab Tuan Guru dengan tenang.
Keadaan menjadi bingit,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.
“Aku  sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk  melaksanakan hajatku ini.Kalau begitu tidaklah mengapa.Biarlah aku  sendiri yang pergi menyampaikannya.”Tuan Guru menjawab dengan tenang.
Para  murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan.Salah seorang  murid kanan Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta  tersebut.
Mana  mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara’  ini dibiarkan masuk dan bertandang ke tempat hina seperti itu.
“Ketuklah  setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan  sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku(Nama tuan guru)  dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” Tuan Guru memberikan  pesanan kepada muridnya tersebut.
Maka  sang murid yang mulia ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda  tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan  sedekah kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu  dilaksanakan.Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan  pelacuran tersebut.
Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.
“Assalamualaikum,  maafkan saya mengganggu,saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin  fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian.Beliau  berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala”.
Terkejut  para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut  sudi memberikan sedekah kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang  murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan  nafasnya.
Masing-masing  ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa  tersebut.Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah  berlaku.Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada  di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di  Masjid Tuan Guru.Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan  Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka  lakukan.Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru benar-benar ingin  menyampaikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur berkenaan.
Ini  merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang  wara’ ini.Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan impak  yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.
Tuan  Guru yang saya maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis  al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala.Beliau wafat pada  1354 Hijriyah.Beliau digelar “Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin” 
yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka.Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.
Beliau  mengajar di Masjid Umawi pelbagai bidang ilmu seperti Nahwu, Sarf,  Balaghah, Mantiq, Fiqh dan lain-lain.Menurut Syeikh al-Allamah Mahmud  Rashid al-Attar rahimahullah (wafat 1362 Hijriyah), Syeikh Badruddin  al-Hasani juga mengajar 
kitab  Tafsir Baidhawi tanpa melihat kepada kitab dan tanpa memegang apa-apa  kertas pun ditangannya.Tafsir tersebut telah dihafalnya dan dikuasainya  dengan begitu hebat.
Ketika  umur Syeikh al-Allamah Badruddin al-Hasani mencapai 30 tahun beliau  mula mengajar Sahih Bukhari di Masjid al-Sadat.Ini juga dilakukan tanpa  melihat kitab sedikitpun.Beliau menghafal keseluruhan Sahih Bukhari di  dalam dadanya.
Menurut  para ulama tidak pernah dilihat seseorang yang begitu alim menyampaikan  pengajian dengan keseluruhan bidang ilmu seperti Syeikh Badruddin  al-Hasani rahimahullah.Ketika mensyarahkan Sahih Bukhari , 
keseluruhan ilmu dibahaskannya termasuklah ilmu perubatan, hikmah-hikmah, falsafah dan lain-lain.
Antara  kelebihan Syeikh Badruddin al-Hasani rahimahullah juga ialah, semuanya  mampu untuk memahami apa yang disampaikannya,bukan hanya para ulama dan  penuntut ilmu, 
malah  para petani dan orang awam yang biasa juga mampu untuk memahami apa  yang disampaikan oleh Syeikh al-Murabbi rahimahullah.Ini kerana  keikhlasannya yang begitu tinggi ketika menyampaikan pengajian.
Beliau  juga digelar Qutb al-Zaman (Wali Allah yang menjadi paksi kepada  seluruh para wali ketika itu)dan Mujaddid pada zaman tersebut.  Al-Fatihah buat Syeikh al-Allamah al-Muhaddis Sayyid Badruddin al-Hasani  rahimahullah.
sumber: gempaq.org



No comments:
Post a Comment